Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 23, 2017

[KUANTAN] AFFANDI BUKTIKAN MELAYU MAMPU BUKA KEDAI TAYAR


Affandi buktikan Melayu mampu buka kedai tayar


Sebut sahaja perniagaan tayar kenderaan, pasti tidak ramai usahawan Bumiputera berkecimpung dalam bidang itu kerana ia dikuasai bangsa lain.

Namun begitu, Mohamad Affandi Majid, 29, antara usahawan muda yang terlibat dalam perniagaan ini dan berjaya menubuhkan sebuah bengkel Second Tyre Kuantan di persimpangan Permatang Badak, kira-kira empat tahun lalu.

Menurutnya, perniagaan yang diusahakan itu mendapat sokongan daripada keluarga, malah mereka juga sebahagian daripada rakan kongsi dalam perusahaan tersebut.

Sebelum bermula menceburi bidang perniagaan itu, Mohamad Affandi memberitahu, dia pernah bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di daerah ini dengan kadar upah yang tidak seberapa.

Jelasnya, sepanjang bekerja di bengkel baiki kereta, dia menyedari beberapa kekangan dihadapi oleh pengusaha bengkel kereta iaitu kesukaran untuk membuat pusingan modal.

“Bila saya nampak ada masalah tu, saya pilih perusahaan tayar sebab pusingan modal tak macam 'mati. Setiap kali orang beli tayar mereka akan terus bayar tanpa berhutang.

“Ini juga satu perniagaan jangka masa panjang dan sebab itu saya sepakat untuk mengusahakan perniagaan ini secara serius,” katanya.

Jelasnya, berbeza dengan perniagaan membaiki kenderaan yang ada kalanya mempunyai risiko yang untuk bankrap kerana pelanggan ada pelbagai kerenah.

Katanya, sepanjang enam tahun bergelumang dalam dunia pembaikan kenderaan, ragam pelanggan dapat dilihat dan memberi kesan kepada pengusahaan bengkel.

“Terus terang saya cakap jadi mekanik buat saya pening dan masalah duit antaranya faktor. Ini kerana bukan semua pelanggan terus bayar bila kenderaannya siap dibaiki. Ada yang minta simpan dulu kereta, ada juga hanya bayar separuh dulu dan sebagainya. Ini yang susah nak pusing modal,” katanya.

Ditanya mengenai modal yang digunakan untuk mengusahakan perniagaan ini, Mohamad Affandi memberitahu, dia telah mengeluarkan RM50,000 sebagai permulaan untuk berniaga tayar di daerah ini.

Menurutnya, wang tersebut digunakan untuk membeli sebuah mesin dan kelengkapan servis tayar dalam usaha memenuhi tuntutan pelanggan.


0 comments:

share2