Kejadian lapan remaja berbasikal maut dirempuh sebuah kereta di Johor Bharu yang berlaku awal pagi kelmarin seharusnya dijadikan iktibar tidak hanya oleh golongan ibu bapa, malah anak-anak.
Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Siti Hajar Mubin berkata, kejadian tersebut perlu dipandang serius semua pihak dan menganggap ia sebagai ingatan untuk seluruh rakyat di negara ini.
“Baru semalam (kelmarin) kita sedar aktiviti berbasikal di tengah malam itu telah dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu. Apa yang berlaku itu ingatan untuk kita supaya lebih mengawasi anak-anak.
“Anak-anak harus dibentuk pada usia yang lebih muda, jadi penting untuk beri bimbingan terutamanya dalam bab agama supaya iman yang ada dalam diri mereka akan membuatkan mereka rasa takut untuk melakukan sesuatu yang dilarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Kem Anak Soleh 2017 anjuran Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Jerantut dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah, Seranta Felda, Biro Tatanegara (BTN) dan Persatuan Siswa Anak Felda (Persada) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang di Lata Lang, di sini, semalam.
Turut hadir ,Ketua Pegawai Seranta Felda Wilayah Jengka, Datuk Khatijah Mohd Said dan Pengerusi Gabungan Sekolah Agama Rakyat dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (Sar/Kafa) Jerantut, Suhaimi Mohamad.
Dalam usaha menggalakkan lagi program seumpama itu dijalankan, Siti Hajar mewakili Wanita Umno Bahagian Jerantut turut menyumbangkan RM500 kepada penganjur program.
Seramai 120 pelajar tahun satu hingga enam dari 20 sekolah di daerah ini terlibat dalam program yang diadakan selama tiga hari dua malam bermula sejak Jumaat lalu.
Peserta, Norshuhada Shahila Sukurillah, 11, berkata, setelah mengikuti program itu, dia berasa lebih bersemangat untuk belajar selain ingin menjadi anak yang taat kepada ibu bapa.
“Program ini membuatkan saya rasa lebih berani selain dapat tambah ramai kawan,” katanya.
Muhammad Zaimulhakim Mohd Zain, 12, pula berkata, antara aktiviti yang paling digemarinya sepanjang menyertai kem motivasi itu ialah permainan mencari barangan Explorace.
Sama seperi Norshuhada, Zaimulhakim juga berazam akan sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan mendengar kata-kata mereka.
0 comments:
Post a Comment