Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 19, 2017

ARTRITIS SUKARKAN KEHIDUPAN WANITA


Artritis sukarkan kehidupan wanita


Artritis, dalam bentuk dan simptom yang berbeza-beza boleh dihidapi oleh wanita pelbagai peringkat umur. Simptom-simptom utama artritis iaitu rasa bengkak dan sakit boleh menghalang wanita untuk menjalani kehidupan harian dengan sempurna. 

Apakah maksud artritis? Artritis merujuk kepada inflamasi atau keradangan yang berlaku pada sekurang-kurangnya satu sendi. Simptom-simptom utama termasuk pergerakan sendi terhad/sukar dan rasa sakit (pada sendi).

Penyakit ini biasanya berlarutan dan semakin teruk dengan peningkatan umur. 

Dua jenis utama artritis ialah osteoartritis dan artritis reumatoid. Osteoartritis berpunca daripada haus dan lusuh (wear dan tear) manakala artritis reumatoid tergolong dalam gangguan autoimun (autoimmune disorder). 

Simptom Utama

Rasa sakit dan sukar menggerakkan sendi merupakan simptom-simptom utama bagi kedua-dua jenis artritis. Simptom-simptom tambahan juga biasa dialami antaranya seperti bengkak, warna merah atau sukar untuk bergerak.

Ubat-ubatan moden yang dikatakan biasa digunakan oleh penghidap ialah analgesik (ubat penghilang kesakitan, meredakan rasa sakit), ubat-ubatan antikeradangan bukan steroid (nonsteroidal anti-inflammatory drugs atau NSAIDs), ubat melawan rengsaan (counterirritant) atau ubatan biologik (ubatan biologi).

Ubat melawan rengsaan biasanya terdiri daripada salap mengandungi bahan yang menyebabkan rasa pijar/panas digunakan bagi menimbulkan rengsaan pada permukaan kulit. Sifat tersebut melawan rasa sakit dengan meneutralkan/meredakan rasa sakit tersebut.

Walau bagaimanapun, ubat-ubatan tersebut dikatakan hanya berupaya meredakan rasa sakit dan sesetengahnya berbahaya kepada kesihatan apabila digunakan berterusan untuk jangka waktu yang lama.

Ubat analgesik hanya merawat rasa sakit dan tidak mampu mengurangkan keradangan. NSAIDs misalnya aspirin pula boleh menyebabkan kerengsaan perut (boleh menyebabkan gastritis dan ulser perut), loya, mudah lebam dan telinga berdesing.

Kesan-kesan sampingan tersebut disenaraikan oleh Medicinenet.com dalam risalah berjudul “Aspirin and Antiplatelet Medications Index”.

Bukan setakat kesan-kesan tersebut, malah ia juga dikatakan oleh FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubatan, Amerika Syarikat) boleh meningkatkan risiko serangan jantung dan strok di mana setiap satunya boleh menyebabkan kematian.

Seperti diperingatkan (warning) dalam risalah berjudul “FDA Drug Safety Communication: FDA strengthens warning that non-aspirin nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) can cause heart attacks or strokes”, FDA (9 Julai 2015) menyatakan terdapat banyak kajian yang menyokong penemuan tersebut. Selain aspirin, dua NSAIDs lain ialah ibuprofen dan naproxen.

Ubatan biologik yang bersifat merencatkan fungsi sistem imun pula dikatakan boleh menyebabkan penghidap artritis mengalami infeksi seperti dinyatakan dalam risalah WebMD, ‘semua biologik boleh meningkatkan risiko infeksi di mana dalam kes terpencil boleh menjadi serius’. Sila baca risalah WenMD berjudul “Taking a Biologic for Crohn’s Diseases: Risks and Benefits”.

Risalah yang sama menyenaraikan beberapa kesan sampingan lain akibat penggunaan biologik termasuk sakit kepala, simptom menyerupai flu, loya, ruam, sakit di tempat suntikan dan tindak balas infusi (infusion reactions). Tindak balas infusi merujuk kepada tindak balas kehipersensitiviti (hypersensitivity reactions) dan sindrom pelepasan sitokin (cytokine release syndromes).

Medicinenet.com dalam risalahnya “Biological Therapy” menambah beberapa kesan sampingan lain akibat penggunaan biologik termasuk sakit/sengal otot, lesu, muntah, hilang selera makan, diarea, mudah luka atau lebam. 

Simptom-simptom sindrom pelepasan sitokin seperti disenaraikan dalam artikel berjudul “Cytokine Release Syndrome: Review and Nursing Implications” yang terbit dalam “Clinical Journal Of Oncology Nursing” (2007) termasuk demam panas, loya, rasa sejuk, tekanan darah rendah, takikardia (denyutan jantung yang luar biasa cepatnya), astenia (kekurangan atau kehilangan kekuatan dan tenaga), sakit kepala, ruam, tekak gatal dan dispnea (kesukaran bernafas).

Ada pendapat yang menyatakan bahawa pengambilan ubat-ubatan moden tertentu misalnya ubatan kombo untuk mengawal kolesterol dan darah tinggi secara berterusan dipercayai boleh menyebabkan artritis.

Daripada perspektif perubatan alternatif, simptom-simptom artritis dipercayai bukan sahaja boleh reda malah sesetengah penghidap boleh kembali kepada tahap kesihatan normal secara beransur-ansur.

Kesensitifan

Sesetengah makanan boleh menyebabkan kesensitifan makanan (food sensitivities) kepada penghidap artritis. Mengambil makanan tertentu misalnya susu, produk gandum atau coklat mungkin boleh menjadikan sendi kaki dan tangan sebahagian penghidap bengkak.

Oleh sebab fisiologi setiap wanita adalah unik dan tubuh wanita bertindak secara berbeza-beza dengan yang lain, setiap penghidap lebih tahu mana-mana makanan yang boleh menyebabkan simptom-simptom artritis menjadi teruk, selain mengetahui makanan yang sesuai dan tidak menimbulkan/memburukkan simptom.

Berhenti makan sebarang jenis bijirin termasuk nasi, susu, buah sitrus, gula-gula, produk mengandungi marjerin atau makanan bergoreng secara terendam lama serta mengambil pelbagai sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan ikan mungkin tidak menimbulkan/memburukkan simptom pada sesetengah penghidap.

Selepas dua minggu makan semula makanan kumpulan pertama (berhenti makan) satu-persatu dan perhatikan sebarang tindak balas.

Dysbiosis (ketidakseimbangan mikrobiota usus) dipercayai boleh mencetuskan atau memburukkan simptom artritis. Berhenti daripada mengambil makanan yang boleh memburukkan dysbiosis merupakan satu langkah yang bijak.

Berusaha mengurangkan berat badan, mengatasi sembelit, bersenam secukupnya, tidur secukupnya, mengelakkan daripada mengambil ubat-ubatan moden yang dipercayai boleh memburukkan simptom artritis, minum air secukupnya dan mengawal stres dengan bijak merupakan antara langkah yang harus dilakukan. Rawatan akupunktur dan akutekan (acupressure) juga dikatakan berkesan.

Bahan-bahan yang boleh meredakan artritis

 Karbon teraktif (activated carbon)

 Cuka epal 

 Gula merah (blackstrap molasses)

 Triphala (herba India)

 Minyak ikan


0 comments:

share2