Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, January 14, 2017

[KUANTAN] POLISAS BANTU ANAK ROHINGYA


Polisas bantu anak Rohingya


Tersentuh dengan nasib yang menimpa masyarakat Rohinya, Persatuan Pandu Puteri Siswi Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) mengambil inisiatif mendekati golongan itu dengan memberi sumbangan 57 set kelengkapan alat tulis kepada murid di Rohingya Education Centre (REC) di Indera Mahkota.

Timbalan Pengarah Akademik Polisas, Radziah Hashim berkata, sumbangan set alat tulis itu diharap dapat menyuntik semangat kepada murid Rohinya yang belajar di REC.

Menurutnya, sumbangan kali pertama itu akan menjadi titik mula kepada pihaknya untuk terus menyalurkan bantuan yang sesuai selain memberi pendidikan khas termasuk latihan kepada mereka.

“Sebelum ini, kami tidak mengetahui mengenai REC yang sudah dua tahun beroperasi di sini. Namun, dengan adanya program ini, saya rasa banyak yang boleh dilaksanakan oleh pihak Polisas untuk membantu REC.

“Kita mempunyai kepakaran dan boleh membantu remaja etnik Rohingya menimba kemahiran dalam pelbagai bidang diminati seperti kimpalan, pertanian, membaiki kenderaan dan mengecat bangunan,” katanya pada Program Penyampaian `School Kits for Rohingya` yang dirasmikan Setiausaha Persatuan Pandu Puteri Pahang, Datin Seri Jamaliah Zainal Abidin di Dewan REC, semalam.

Hadir sama, Guru Besar REC, Amran Talib.

Rodziah berkata, program julung kali diadakan itu mendapat kerjasama daripada pensyarah dan kakitangan pusat pengajian itu yang tampil memberi sumbangan kewangan bagi menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan.

REC mempunyai 140 murid berumur antara enam hingga 20 tahun yang mendapat tajaan sepenuhnya daripada Yayasan Albukhary dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain di negara ini.

Radziah berkata, bancian REC mendapati terdapat lebih 2,800 masyarakat etnik Rohingya daripada 800 keluarga menetap di daerah ini, mereka berada di negara ini sebelum diterima oleh negara ketiga.

Bagi pelajar Diploma Teknologi Makanan, Nurhasanah Samsudin, 19, berkata, dia gembira kerana berpeluang menceriakan murid Rohinya yang merupakan golongan tertindas di negaranya.

"Saya lihat mereka seolah-olah masih belum melupakan detik hitam ketika berada di negaranya.

“Saya harap kehadiran kami sedikit sebanyak dapat menceriakan mereka,”katanya.


0 comments:

share2