Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 24, 2016

ZAKAT: JANGAN AMBIL MUDAH


Zakat: Jangan ambil mudah


Shah Alam - Masih ramai umat Islam yang culas untuk membayar zakat kerana beranggapan mereka juga merupakan golongan kurang mampu dan tidak perlu mengeluarkan zakat.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman, ia merupakan ‘persepsi’ yang perlu dibetulkan berikutan membayar zakat adalah wajib bagi setiap umat Islam pada kadar 2.5 peratus daripada pendapatan.

“Kadar zakat rendah iaitu hanya 2.5 peratus sahaja. Isunya adalah persepsi kerana mereka tidak kira dahulu berapa yang perlu dibayar.

“Membayar zakat tidak akan mengurangkan harta malah ia akan memberi keberkatan dan kesuburan harta kepada pemiliknya,” katanya.

Selain itu katanya, antara alasan ‘popular’ lain digunakan apabila gagal membayar zakat adalah kesibukan kerja.

“Alasan tidak sempat atau sibuk tidak relevan kerana PPZ-MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan pembayaran zakat dan ia sentiasa ditambah baik termasuk melalui atas talian.

“Oleh kerana itu alasan ‘tidak sempat’ amat mendukacitakan kerana setiap individu mempunyai masa sama, 24 jam sehari. Jika diuruskan dengan baik sudah tentu tiada alasan ‘tidak sempat’,” katanya.

Katanya, setiap muslim perlu sedar bahawa harta yang dimiliki bukan hak milik setiap darinya secara mutlak kerana sebahagiannya adalah kepunyaan pihak lain.

“Harta yang kita miliki bukanlah 100 peratus hak milik kita kerana terdapat hak orang lain juga di dalamnya. Pastikan hak-hak orang lain itu dipulangkan melalui ibadah zakat bagi menyucikan harta tersebut.

“Antara kelima-lima Rukun Islam, hanya zakat berkait dengan hablumminannas (hubungan sesama manusia) manakala empat yang lainnya berkait dengan hablumminallah (hubungan dengan Allah). Keimanan dan ketakwaan akan sempurna jika berpegang teguh kepada dua perkara ini,” katanya.

Tambahnya, PPZ-MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan pembayaran antaranya dengan membuka 11 kaunter PPZ-MAIWP setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Disember ini bermula jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

“Pada 27 hingga 31 Disember pula, ia dibuka dari jam 8.15 pagi hingga 8 malam dan diserikan dengan selebriti pilihan.

“Selain itu, boleh juga membuat bayaran secara atas talian di www.zakat.com.my, Skim Thohir (skim potongan gaji) dan kaunter bergerak di lokasi-lokasi tertentu. Untuk dapatkan perkhidmatan van bergerak atau maklumat lanjut, boleh hubungi talian zakat 1-300-88-5757,” katanya.


0 comments:

share2