Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 26, 2016

[KUANTAN] DUA BERADIK DERITA PENYAKIT KULIT


Dua beradik derita penyakit kulit


Setiap kali memandikan Nazhan Naim Nazri, air matanya pasti mengalir kerana tidak sanggup melihat bayinya itu kesakitan di saat air terkena pada badannya.

Husni Wati Zaini Abdul Aziz, 29, berkata, bayi berusia lapan bulan itu menderita penyakit kulit yang menyebabkan badannya bersisik.

Menurutnya, badan Nazhan akan bertukar kemerahan apabila gatal dan dia akan menangis.

Katanya, untuk meredakan tangisan anaknya, dia menyapukan ubat krim, namun tidak bertahan lama, malah kanak-kanak itu perlu sentiasa berada di dalam bilik dilengkapi pendingin hawa.

“Setiap kali dia menangis, saya rasa hiba. Anak saya bukan seperti kanak-kanak lain, dia perlukan perhatian lebih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Balok, di sini.

Husni Wati berkata, bukan Nazhan sahaja mengalami penyakit itu tetapi anak keduanya, Nur Dalili yang berusia setahun turut mengalami nasib sama, selain mengalami masalah paru-paru.

Katanya, kulit Nazhan lembut dan sentiasa menggelupas ketika cuaca panas hingga terdapat kesan merah di seluruh badan.

“Nazhan tak boleh kena panas kerana jika dia terdedah lama dengan cahaya matahari, kulitnya akan menggelupas dan kemerah-merahan serta ditumbuhi ruam di seluruh tubuhnya,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua anaknya itu perlu dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setiap bulan.

“Pelbagai usaha dan ikhtiar saya lakukan bagi mengubati penyakit Nazhan tetapi semuanya gagal. Namun saya bersyukur kerana Nur Dalili makin sembuh,” katanya.

Ibu tiga anak itu berkata, mereka bukan golongan berada kerana suaminya, Nazri Mazlan, 35, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat di Gebeng.

Katanya, pendapatan diperoleh setiap bulan tidak mampu menampung kos ubat dan susu formula dua anaknya itu.

“Dia memang perlukan ubat kulit untuk kurangkan kegatalan dan mereka berdua minum susu khas berharga RM70 hingga RM150 setin.

“Saya anggarkan setiap bulan perbelanjaan untuk beli susu khas untuk dua anak saya ini cecah RM3,000.

“Itu baru kos untuk anak, belum termasuk lagi bil elektrik RM300 sebulan kerana 24 jam terpaksa berada di dalam aircond,” katanya yang turut membayar sewa rumah RM500 sebulan.

Sementara itu, Nazri berkata, Nur Dalili mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) RM300 sebulan selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sementara Nazhan belum memperoleh sebarang bantuan.

“Saya sudah buat permohonan dengan JKM dan Muip awal November lalu, saya harap mereka dapat pertimbangan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun 062004100030131 Bank Simpanan Nasional milik Nazri.


0 comments:

share2