Seorang perompak yang berjaya ditangkap sempat meminta ampun dan minta dilepaskan sebelum diselamatkan dua lagi rakan subahatnya dalam kejadian rompakan berkumpulan dan bersenjatakan parang di Felda Jengka 11, di sini.
Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Kamaruzzaman Dollah, 26, dan abangnya Fauzi, 42, cuba menghulurkan bantuan terhadap jiran mereka, Husin Misban, 70, yang dirompak.
Kedua-dua mereka bertindak keluar rumah membawa parang dan kayu, sebaik terdengar bunyi orang memotong besi tingkap di luar rumah.
"Mulanya saya dengar bunyi bising. Saya jenguk ke luar dan nampak perompak-perompak sedang potong besi dan buka tingkap rumah jiran sebelah. Abang telefon polis. Selepas itu kami keluar dan tunggu di pintu belakang rumah Pakcik Husin untuk kepung rumah.
"Waktu itu saya rasa perompak-perompak sedar yang kami sudah tahu mereka ada di dalam rumah. Kami dengar mereka seakan bergegas nak keluar. Buka sahaja pintu mereka terus rempuh abang dan lari. Abang bergelut dan dapat tangkap seorang daripada enam perompak yang kami nampak. Dua orang perompak yang sudah lari berpatah balik dan menyerang abang.
"Kejadian sangat pantas. Kami semua bergelut dan tak sedar langsung badan dan tangan saya pun sudah kena tetak. Waktu itu polis sampai dan lepaskan tiga das tembakan ke atas. Selepas perompak lari saya nampak abang sudah terbaring. Kepalanya berlumuran darah kesan tetakan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.
Kamaruzzaman kemudiannya memapah Fauzi dan dibawa ke Hospital Temerloh untuk mendapatkan rawatan.
Susulan kes itu Kamaruzzaman menerima lima jahitan di tangan dan mendapat rawatan pesakit luar manakala abangnya masih ditahan di hospital untuk menjalani pembedahan di kepala.
Isteri Fauzi, Salasiah Ahmad,41, berkata, keadaan suaminya stabil cuma disahkan demam oleh doktor menyebabkan pembedahan terpaksa ditangguhkan sehingga demamnya kebah.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan kata semangat dan ucapan takziah.
"Doakan pembedahan selamat dan suami saya cepat sembuh. Darah banyak keluar sejak pagi tadi. Saya risau kesan tetakan di bahagian kepala suami sebab kulit dah tak ada. Untuk elak jangkitan doktor kata memang perlu bedah.
"Kami menetap di Bandar Pusat Jengka tapi malam tadi (semalam) tidur di rumah mak sebab mak tak sihat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di Hospital Temerloh.
0 comments:
Post a Comment