Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 20, 2016

‘SUAMI SAYA BUKAN BEBANAN'




‘Suami saya bukan bebanan’


Seremban - “Suami saya bukan beban tapi dia tanggungjawab saya. Syurga saya di bawah tapak kakinya,” kata Zainab Saleh, 64, isteri kepada Mejar Bersara Md Nor Abdullah, 68.

Zainab yang tinggal di Taman Rashibah Indah, Sikamat, di sini, menjaga suaminya yang lumpuh akibat serangan strok dua tahun lalu.

Md Nor yang merupakan pesara Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja dan menamatkan perkhidmatan terakhir sebagai jurulatih Sekolah Altelari di Batu 10, Port Dickson tidak mampu berjalan dan bercakap akibat penyakit dihadapinya.

Menurut Zainab, suaminya itu diserang strok ketika sedang baring di katil kira-kira jam 11 pagi pada Oktober 2014.

“Masa tu tiba-tiba saya tengok dia tidak boleh bergerak dan bercakap. Saya telefon anak-anak dan ambulans untuk dibawa ke hospital.

“Sampai di hospital doktor beritahu dia kena strok. Dua hari selepas itu, doktor terpaksa membuat pembedahan di kepala untuk mengelakkan pendarahan dalam otak,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Persatuan Veteran 13 Melayu Diraja, di sini, semalam.

Zainab berkata, sejak serangan itu, suaminya kini terlantar di atas katil dan memerlukan penjagaan rapi ahli keluarga.

“Suami saya tidak boleh bercakap tetapi dia faham. Kalau saya bercakap dengan dia, dia akan beri respon. Contohnya kalau saya tanya abang laparkah, dia akan angguk atau geleng kepala sama ada mahu makan atau tidak.

“Dia seorang suami yang penyayang dan lembut bila berbicara. Walaupun dia bekas tentera, saya lebih tegas dari dia kerana sifatnya memang seorang yang lembut dan baik hati,” katanya.

Zainab berkata, dia bersyukur kerana ALLAH SWT memberi kekuatan kepadanya walaupun kudratnya kini tidak mampu.

“Kalau ikutkan kudrat saya memang tidak mampu untuk jaganya sebab saya sudah berumur, tetapi ALLAH beri saya semangat dan kuatkan hati untuk jaga dia.

“Ada yang tanya saya tak rasa bebankah? Saya kata suami saya bukan beban tapi tanggungjawab untuk jaganya sampai syurga,” katanya.

Zainab bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai tiga orang anak dan menantu yang bertanggungjawab apabila bersama-sama menjaga suaminya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Veteran 13 Melayu Diraja, Kapten Bersara Mohd Hatta Musidi berkata, pihaknya menghulurkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada Md Nor.

“Walaupun pakcik mendapat wang pencen setiap bulan, Insya-ALLAH kita akan bantu mendapatkan sumbangan dari Jabatan Hal Ehwal Veteran.

“Semua bekas tentera layak menerima sumbangan tidak kira pangkat pegawai atau anggota. Jadi, kita akan usahakan bantuan untuk pakcik Md Nor secepat mungkin,” katanya.


0 comments:

share2