Kemaman - Penduduuk setempat perlu mengambil langkah siap siaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi musim tengkujuh dan banjir bagi memastikan mereka mudah dipindahkan lebih awal oleh anggota penyelamat.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana oleh peringkat akar umbi adalah lebih penting daripada persediaan anggota keselamatan dan aset-aset mereka.
"Kita tidak nafikan pentingnya anggota penyelamat seperti Bomba dan polis serta aset yang digerakkan ketika misi menyelamat mangsa banjir.
"Tapi, apabila bencana itu melibatkan puluhan ribuan mangsa, manakan cukup anggota polis dan bomba sahaja membantu (memindahkan dan menyelamatkan mangsa).
"Justeru itu, sokongan semua pihak termasuk penduduk setempat, pertubuhan bukan kerajaan adalah penting dalam usaha menghadapi bencana dan mengelak berlakunya kemusnahan besar," katanya yang juga Anggota Parlimen Kemaman di sini, semalam.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2016 yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kemaman Waterfront hari ini.
Ahmad Shabery berkata jika semua pihak bersiap sedia dengan lebih awal jumlah penduduk yang dipindahkan mungkin lebih rendah berbanding jika mereka terperangkap akibat lewat keluar daripada kediaman masing-masing.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang memilih Kemaman sebagai tuan rumah bagi acara berkenaan.
"Ia sedikit sebanyak menambahkan semangat warga Kemaman untuk memperkemas lagi 'SOP Kemaman Siapsiaga' dari semasa ke semasa khususnya ketika berlakunya banjir di daerah ini.
"Selain SOP itu yang kita laksanakan sebelum ini, kita juga menambah lagi satu perkara iaitu memberi makan kepada haiwan ternakan yang terperangkap ketika berlakunya banjir untuk mengelaknya mati kelaparan," katanya.
0 comments:
Post a Comment