Bayan Lepas - Seorang wanita berusia 47 tahun didakwa cuba terjun dari tingkat lima sebuah bangunan di sini.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azman berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam.
“Kami menerima laporan seorang wanita sedang berada di tingkat paling atas sebuah bangunan di Jalan Tingkat Mahsuri.
“Setelah sampai di tempat kejadian, didapati memang terdapat seorang wanita berada di situ dan maklumat awal dari orang awam menyatakan mangsa dikatakan hendak terjun dari bangunan tersebut,” katanya.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dikejarkan ke tempat kejadian dan komander operasi berusaha mendapatkan maklumat mengenai mangsa terlebih dahulu.
Azman berkata, awalnya mangsa yang berada dalam keadaan murung telah dipujuk oleh anggota bomba.
“Pihak kami terpaksa mengambil masa selama 25 minit untuk memujuk mangsa sehinggalah mangsa akhirnya memberi kerjasama dan berjaya ditenangkan oleh anggota bomba.
“Mangsa telah diselamatkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment