Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 11, 2016

WORLD #QURANHOUR: SELURUH DUNIA CIPTA SEJARAH


World #QuranHour: Seluruh dunia cipta sejarah


Gombak - Masyarakat Islam seluruh dunia menempa sejarah apabila menjadi sebahagian daripada gerakan World #QuranHour, di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, pagi ini.

Tepat jam 9.30 pagi, masjid ini dipenuhi gelombang alunan bacaan kalimah al-Quran daripada umat Islam di seluruh negara yang berkumpul sejak jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dengan penyertaan sebanyak 50 buah negara di seluruh dunia.

"Dianggarkan seramai empat ribu peserta berada di masjid UIA untuk sama-sama menjayakan program yang julung kali diadakan ini.

"Saya sangat berharap supaya World #QuranHour ini tidak hanya terhenti di sini dan akan diteruskan hingga ke akhir hayat," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas program berakhir.

Menurutnya lagi, lebih 10 juta peserta di seluruh dunia dijangka akan menyertai program ini mengikut waktu tempatan masing-masing.

"Kami mendapat informasi daripada pegawai UIA, di India sahaja seramai 8 juta orang dijangka menyertai program ini. Ini belum termasuk di padang Arafah dan juga di negara-negara lain seperti London, New Zealand dan lain-lain,” jelasnya.

Kagum dengan kejayaan program hari ini, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah berkata, beliau teruja dengan sambutan yang diterima terhadap gerakan World #QuranHour.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Pada mulanya kita lihat pada awal program, kedatangan tidaklah begitu penuh, bagaimanapun lama kelamaan pekarangan masjid mula dibanjiri umat Islam di seluruh negeri.

"Kami juga menerima kedatangan wakil kedutaan daripada enam kedutaan di seluruh dunia," katanya ketika ditemui dalam majlis, hari ini.

Mohd Nasir dalam masa sama turut berharap gerakan World #QuranHour dijadikan sebagai permulaan bagi umat untuk meluangkan masa selama satu jam bersama al-Quran setiap hari, bermula hari ini.

"Kami berharap al-Quran dapat dijadikan sebagai landasan hidup, selain dapat melahirkan masyakat celik al-Quran," katanya lagi.

Sambutan World #Quran Hour yang berlangsung hari ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berlangsung dengan jayanya.

Lokasi 'Hot Spot' World #QuranHour di seluruh dunia adalah di empat kategori lokasi utama iaitu: Padang Arafah (jemaah Haji Malaysia dan negara-negara bergabung), Malaysia (acara Perdana di UIA dengan pelaksanaan lain di 14 negeri membabitkan gabungan Rumah Ngaji Negeri, Agensi Kerajaan, Majlis Agama, syarikat korporat, masjid dan surau (sama ada berseorangan atau berkumpulan), lokasi di luar negara (melibatkan rakyat Malaysia di luar negara) dan kerjasama dengan Negara lain (alumni UIA di 31 Chapters di luar negara, Madrasah Tahfiz Sulaimaniyah di lebih 156 negara, Bayyinah dan gabungan Muslim NGO seluruh dunia).

World #QuranHour adalah kesinambungan inisiatif sejak 2013 melalui #AktifkanRumahNgaji dan #MalaysiaNgaji yang diadakan pada setiap 24 Ramadan.


0 comments:

share2