Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 22, 2016

WISE 2016 HIMPUN WANITA MUSLIM


Wise 2016 himpun wanita Muslim


SHAH ALAM - Sidang Kemuncak Wanita Islam Sedunia (Wise) 2016 merupakan acara julung kali yang bakal diadakan di negara ini untuk menghimpunkan wanita Islam dari seluruh dunia dalam memberi sumbangan keamanan dunia.

Program diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula esok hingga 25 September ini.

Timbalan Pengerusi Wise 2016, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata, peranan wanita adalah sama penting dengan lelaki dalam memberi sumbangan kepada dunia.

“Wise 2016 melibatkan golongan ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita untuk berkongsi pemikiran, perasaan dan pengalaman dalam menyumbang kepada keamanan sejagat.

“Sebelum ini wanita asyik menuntut hak yang diperjuangkan pada zaman feminisme sejak kurun ke -18 sehingga kini. Tetapi kita hendak buat pendekatan pada kurun ke-21, ramai wanita Islam di seluruh dunia berpendidikan tinggi dapat membantu ummah dan juga sebagai projek saham akhirat.

“Kita juga membantu wanita dari negara berkonflik seperti Palestin, Syria, Yaman dan Rohingya untuk belajar di Malaysia bagi mendapatkan 10 biasiswa dengan kerjasama 20 universiti tempatan,” katanya yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Wise 2016 dianjurkan oleh Jakim, Forum Islam Sedunia (WIF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Acara perasmian sidang kemuncak tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di samping melancarkan Biasiswa OIC-Malaysia, 23 September ini. 

Zaleha berkata, Wise 2016 turut diserikan dengan program sampingan termasuk program Forum: Wanita dan Keusahawan; Perjumpaan NGO Wanita Sedunia; #tilljannah: Muda dan Solehah; Festival Kebudayaan Wanita Muslim Antarabangsa; Pameran Antarabangsa; Makan Malam Gala dan Penyampaian Anugerah dan World Women #QuranHour.

Sementara itu, mengenai Program #tilljannah, penasihat program, Noraini Ahmad berkata, beberapa selebriti tanah air yang boleh dijadikan ikon dari segi penampilan kemas, tutup aurat dan akhlak bersih akan bersama di dalam program itu.

“Antara selebriti terlibat dalam perkongsian #tilljannah ialah Mizz Nina, Fynn Jamal, Najihah Sakeena, Diana Amir, dan Shabana Md Hasan.

“Penceramah daripada pelbagai bidang akan berkongsi maklumat yang boleh membuka minda belia wanita Islam supaya lebih peka dengan kehendak negara dan agama untuk terus ke jannah. 

“Antaranya, Ustaz Fazrol Ismail dari Total Success Consultancy yang akan mengupas topik Youth: Young, Outstanding, Tender, Healthy,” katanya.

Dalam masa sama, wanita dari pelbagai peringkat usia dialu-alukan untuk menyertai Program World Women #QuranHour sejam bersama al-Quran yang bermula 8.30 pagi, 25 September ini.

Acara tersebut dimulakan dengan Asmaul Husna dan zikir yang dibawa oleh Johan Qariah 2016, Ustazah Nur Azrah Ayub dan Perunding Vokal, Cikgu Siti Hajar.

Ia diakhiri dengan majlis penutupan Wise 2016, di mana berlangsungnya acara penyerahan hos Wise 2017 yang bakal diadakan di Turki.


0 comments:

share2