Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 21, 2016

[TEMERLOH] JIRAN TENDANG JERIJI BESI RUMAH


Jiran tendang jeriji besi rumah


Tindakan jiran menendang jeriji besi rumah jirannya menyelamatkan empat beranak daripada terperangkap dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan tiga rumah termasuk satu rumah berkembar di Kampung Bukit Kepayang di sini, malam kelmarin.

Mangsa, Noran Abdul Rahim, 43, berkata, semasa kejadian dia sedang memandikan tiga anaknya yang berumur dua, empat dan tujuh tahun di bilik air rumah mereka.

Menurutnya, dia langsung tidak mengetahui berlaku kebakaran yang telah memusnahkan rumah jiran sehinggalah dia terdengar bunyi pintu jeriji rumah jiran ditendang.

“Bila saya buka pintu, saya terkejut sebab api dah pun mula menyambar dinding rumah saya. Saya terus bawa anak-anak keluar selamatkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, selepas menerima kunjungan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di sini, semalam.

Noran berkata, dalam kejadian itu, hanya dia dan tiga anak perempuannya berada di rumah manakala suaminya bekerja di bandar Temerloh.

Menurutnya, semasa kejadian dia tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana hanya menumpukan kepada usaha menyelamatkan ketiga-tiga anaknya.

“Walaupun saya sedih sangat sebab semua barang musnah, tetapi tetap bersyukur semua anak saya selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Hashnuddin Hussien berkata, faktor rumah kayu dan angin kuat menyebabkan api marak cepat dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu.

Menurutnya, bomba yang tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.24 malam berjaya mengawal kebakaran pada 7.38 malam sebelum berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira 9 malam. 

“Apabila sampai di tempat kejadian api marak begitu cepat, bagaimanapun tiada mangsa yang terperangkap dan cedera. Pada masa ini kita masih melakukan siasatan punca dan jumlah kerugian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri akan cuba membantu mangsa yang terjejas.

Menurutnya, setakat ini pihaknya dan beberapa agensi kerajaan berkaitan telah memberikan sumbangan peralatan dan wang tunai bagi meringankan beban mangsa terlibat.

“Hari ini saya sampaikan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan daripada Biro Tugas-Tugas Khas Umno Temerloh telah sampai awal kepada mangsa malam kelmarin,” katanya.


0 comments:

share2