Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 9, 2016

RAHMAN DAHLAN NAFI EKONOMI MALAYSIA BERMASALAH


Rahman Dahlan


1. Beberapa mesej mengelirukan berkaitan ekonomi negara tersebar luas menerusi aplikasi WhatsApp sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

2. Kebanyakan mesej ini berkisar kepada nisbah hutang semasa negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 53.4% setakat 30 Jun 2016. Nisbah ini menunjukkan tanggungan hutang kerajaan berbanding KDNK.

Sebahagian besar daripada kebimbangan dan dakwaan menyebut, nisbah itu kononnya terlalu hampir dengan had 55% yang ditetapkan Kerajaan Barisan Nasional (BN), dan Malaysia akan menghadapi masalah jika had itu dilangkaui.

Malah, sesetengah mesej tidak bertanggungjawab yang disebarkan mendakwa Malaysia akan bankrap jika kita melepasi had 55% ini.

3. KDNK diukur menerusi nilai mutlak barang dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam tempoh tertentu. Dalam bahasa mudah, ia boleh diterjemahkan sebagai saiz ekonomi negara.

4. Susulan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan selama beberapa tahun - terutama sejak tahun 2009 - Sehingga 30 Jun 2016, KDNK tahunan semasa negara diunjur pada RM1.2 trilion. Ini adalah kira-kira 17 kali saiz ekonomi negara pada tahun 1986 dan sekitar 3 kali saiz ekonomi pada tahun 2003.

Logiknya jika pendapatan negara meningkat, kita mampu menanggung hutang yang lebih besar berdasarkan syarat-syarat mutlak berbanding ketika pendapatan negara tidak begitu tinggi pada masa lampau.

5. Nisbah semasa 53.4% bagi hutang berbanding KDNK masih terkawal, walaupun lebih tinggi berbanding tahun 2007 pada kadar 40.1%.

6. Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar antara tahun 1980 hingga 1985 apabila nisbah hutang berbanding KDNK melonjak daripada 44.0% kepada 103.4% dan kekal di tahap melebihi 55% sehingga tahun 1994.

7. Justeru, adalah tidak logik untuk Malaysia menjadi 'bankrap' atau ekonomi negara berdepan masalah sekiranya nisbah hutang berbanding KDNK melepasi had 55% seperti yang didakwa pihak tertentu.

Jika kita tidak muflis ketika kadar 103.4% pada tahun 1985, bagaimana mungkin kita boleh menjadi bankrap pada kadar 55%?

8. Kadar hutang negara mesti dilihat bersekali dengan pendapatan dan bukannya berdasarkan jumlah mutlak semata-mata.

Sebagai contoh: Individu yang berpendapatan tahunan RM120,000 akan berasa selesa meminjam RM60,000 untuk membeli kereta, berbanding individu yang hanya berpendapatan RM6,000 setahun tetapi menanggung hutang RM7,000.

Secara kasarnya, contoh ini menunjukkan keadaan saiz ekonomi negara dan kadar hutang negara pada tahun 2016 berbanding tahun 1985.

9. Dengan kadar semasa pada 53.4%, Malaysia berada dalam senarai ke-71 tertinggi daripada 179 negara. Sejumlah 70 negara mempunyai nisbah lebih tinggi berbanding Malaysia, termasuk negara maju seperti Jerman, Jepun, Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.

Seperti yang saya nyatakan, nisbah semasa hutang berbanding KDNK kita adalah terkawal dan ekonomi negara masih menikmati pertumbuhan sederhana 5% setahun pada tahun 2015 dan 4.1% pada separuh pertama tahun 2016.

10. Walaupun berdepan harga komoditi semasa yang rendah, kesan langkah UK keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit dan ketidaktentuan keadaan ekonomi global secara keseluruhan, kerajaan tidak berhasrat melepasi had 55% ini dan akan terus menguruskan kewangan negara secara bertanggungjawab.

11. Rakyat Malaysia dan parti politik tertentu perlu berhenti menyebarkan maklumat salah atau menakut-nakutkan pelbagai pihak kerana ia hanya akan menjejaskan keyakinan pelabur dan pengguna terhadap ekonomi negara. Ini boleh diibaratkan sebagai tindakan mensabotaj ekonomi sendiri.

Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab tidak sepatutnya berkongsi atau menyebarkan maklumat mengelirukan atau propaganda seperti itu.

12. Secara amnya, pelan transformasi kerajaan ternyata berkesan dengan pelbagai dasar baik yang kini menampakkan hasil memberangsangkan. Semua rakyat Malaysia sepatutnya memberi tumpuan terhadap kejayaan sedemikian dalam kita mengharungi ketidaktentuan keadaan global ketika ini.

13. Saya yakin Perdana Menteri dan kerajaan sedia ada akan memastikan Malaysia terus menikmati pertumbuhan ekonomi, mengutamakan kesejahteraan rakyat dan terus membangunkan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

Datuk Abdul Rahman Dahlan

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional

Merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri


0 comments:

share2