Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 21, 2016

PERGINYA DR. HARON DIN: YANG TINGGAL PULA?




Hari ini seorang profesor kelas A memberitahu, betapa sukarnya mendapatkan khidmat pakar kewangan Islam untuk menjadi tenaga pensyarah di Universiti.

“Mereka kini dimiliki oleh bank sebagai Penasihat Syariah. Sebuah bank tawarkan RM10 ribu. Menjadi pakar di tiga bank, hasilnya jauh lebih lumayan daripada berkhidmat di Universiti,” katanya.

Kata profesor senior ini, pendapatan masa kini di universiti sudah tidak kompetitif untuk memikat pakar kewangan syariah kerana gaji profesor tidak besar. Beban kerja pula berat dengan tugas mengajar dan penyelidikan.

“Di bank, semuanya mudah dan selesa serta tugas utama hanya menasihati sistem dan model perbankan syariah,” katanya dengan nada realisitik.

Hal yang sama berlaku di industri penyiaran. Kali ini membabitkan pelbagai kategori ilmuan dan agamawan Islam. Setiap tawaran bersiaran, bayarannya mesti kompetitif dan terbaik berbanding apa yang ditawarkan stesyen saingan.

“Kita mengalami krisis teruk dengan demand ilmuan Islam. Program agama dihasilkan bersifat dakwah. Bukan program komersil yang ditaja jenama besar. Tetapi demand bayaran yang dituntut ilmuan Islam adakalanya di luar kemampuan,” rungut seorang operator TV yang turut berada di ruang menunggu di luar Bilik Menteri.

Mengingatkan semua cabaran besar terutama kos kepakaran yang perlu dibayar apabila mahu mendapatkan khidmat pakar lulusan Islam ini, sebenarnya bukan isu baharu atau satu kejutan.

“Ini lumrah,” kata profesor itu: “Mereka akan berkata, jangan kedekut bayar untuk ilmuan Islam ketika anda mampu membayar lebih kepada kepakaran setara yang lain!”

“Ya,” kata operator TV: “Itu juga dilema kami di media massa. Orang agama akan kata, jangan bab agama nak murah atau percuma!”

Ini memang realiti yang menyedihkan. Tetapi ia bukan kejutan. Pada 2006, seorang rakan memaklumkan: “Seorang ustaz mengenakan caj RM6 ribu untuk penggambaran babak mengislamkan semula seorang pesakit Aids yang murtad dan sedang di ambang maut!”

Walaupun sudah dijelaskan bahawa dokumentari ini bersifat khidmat sosial dengan dana sumbangan agensi kerajaan, kata penerbit itu, ustaz yang dijemput kerana popularitinya itu bertegas dengan sikap tiada toleransi dalam soal bayaran. Alasannya, kerana penggambaran memakan masa dua hari dua malam.

“Saya terpaksa cari orang lain ganti,” kata penerbit dokumentari itu dengan nada kecewa. “Saya cari ustaz ini kerana dia popular dan namanya bakal membantu kempen kesedaran terhadap pesakit Aids. Tetapi soal bayaran jadi kekangan!”

Mengimbau perginya Datuk Dr. Haron Din, ulama dan ilmuan tersohor kerana cintanya pada syiar Islam, kita semakin terasa kehilangan. Apa lagi ketika mengenangkan siapa lagi yang tinggal.

Masih ramai yang masih berjiwa dakwah seperti Dr. Haron Din yang mengutamakan syiar Islam. Namun, pada masa sama, terlalu ramai lagi yang muncul sebagai ilmuan dan agamawan yang demand dengan bayaran.

Kita terasa sedih dengan yang telah pergi. Pada masa sama, kita ngeri dengan wajah-wajah yang masih ada. Ini kerana semuanya meletakkan ilmu dan dakwah dengan harga yang luar biasa.


0 comments:

share2