Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 21, 2016

PEGAWAI WANITA TUNGGAL JADI JURU IRING SULTAN


Pegawai wanita tunggal jadi juru iring sultan


Melihat raut lembut wajahnya, tidak siapa menyangka beliau mampu menggalas tugasan yang kebanyakannya dipelopori pegawai kanan lelaki.

Bukan mudah mengatur langkah dan mengawal selia kenamaan yang penuh dengan disiplin tinggi dan protokol istana.

Namun bukan mustahil bagi pegawai wanita ini yang telah 17 tahun mengabdikan jerihnya kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Malahan beliau kini telah menginjak tahun ke lapan melakukan tugasan sebagai juru iring tentera kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Pemilik nama Lt Kol Nazatul Rina Lasim, TUDM bukan asing lagi dalam uniform itu kerana beliau satu-satunya pegawai kanan wanita yang diberi peluang menjawat jawatan itu.

Nazatul Rina, memulakan kariernya dalam TUDM selepas menamatkan Diploma Mekanikal Aeronautikal, Kolej Tentera Udara dan ditauliahkan pada tahun 2002.

Beliau kemudiannya telah ditugaskan di cawangan Logistik pada tahun 2003 sebelum diberi kepercayaan menjawat jawatannya kini.




Sekuntum mawar, 13 kumbang

Mengimbas kembali penglibatannya dalam TUDM, anak kelahiran Johor ini memilih kerjaya sebagai pegawai TUDM kerana mahu dirinya lebih berdisiplin dalam kehidupan seharian.

Namun, tanpa disedari TUDM juga banyak mengajarnya erti kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Mengakui bertugas dengan penuh protokol sebagai cabaran baharu dalam hidupnya, Nazatul Rina berkata, beliau amat bersyukur kepada ALLAH kerana memberi peluang keemasan ini dan kepercayaan yang amat tinggi oleh Tuanku Sultan Pahang bagi mengiringinya dalam setiap acara rasmi baginda.

“Bayangkan, saya hanya sekuntum mawar di antara 13 lagi juru iring Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri.

“Pengalaman ini memang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Saya langsung tidak pernah terfikir dengan apa yang saya lakukan ini.

“Lebih-lebih lagi bidang ini selalunya dilakukan oleh pegawai kanan lelaki sahaja,” kata wanita berbintang Capricorn ini.

Walaupun dikata telah berada di puncak kerjaya dengan jawatan yang disandang kini, beliau sedar masih belum puas bergelar pegawai TUDM dan banyak lagi yang perlu dipelajarinya.

Kata pegawai berkulit sawo matang ini, beliau masih berhajat untuk digerakkan dalam misi-misi khas Angkatan Tentera Malaysia.




Kenangan kasut tercabut

Beliau juga pernah turut serta dengan misi PBB di Congo pada tahun 2007 selama setahun sebagai ‘Military Observer’ dan kemudiannya ditugaskan sebagai ‘Mission Food Officer’.

“Inilah naluri seorang tentera, memang sentiasa mahukan cabaran dalam penugasan ketenteraan.

“Tidak pernah puas dengan cabaran dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Kenderaan dan Pegawai Gudang di MATRA I (2003-2005), Pegawai BAKAT Udara (2006), Pegawai Latih PLPL, Kinrara (2008).

Bercerita lanjut, sebelum ditugaskan sebagai juru iring kepada Tuanku Sultan Pahang, Nazatul Rina pernah melakukan tugasan sama kepada Panglima Tentera Udara, Tan Sri Azizan Ariffin TUDM pada tahun 2008.

“Terlalu banyak yang saya pelajari sepanjang tujuh tahun bersama Tuanku, saya sedar bukan mudah, tetapi saya mahu belajar.

“Ilmu ini tidak ada di luar sana, tidak ada dalam buku. Saya amat berterima kasih kepada Tuanku, Sultanah Hajah Kalsom dan anakanda baginda yang percaya dengan tugasan saya selama ini,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman yang sememangnya tidak akan dilupakan ketika berkhidmat sebagai juru iring ini. 

Jelasnya peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan ketika mengiringi Tuanku meninggalkan satu majlis yang melibatkan kenamaan diraja dan Perdana Menteri di Sri Perdana.

“Ketika mengiringi Tuanku untuk masuk kereta, sedang saya sibuk memberi ‘salute’ kepada kenamaan diraja, entah macam mana kasut saya tertanggal sebelum saya menaiki kereta.

“Pada masa itu hanya ALLAH saja yang tahu perasaan saya. Kejadian ini disaksikan kenamaan lain, cuba bayangkan,” akhirinya tersenyum.


0 comments:

share2