Nama dua kawasan Dun di Pahang akan ditukar menerusi persempadanan semula yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dun terbabit adalah Dun Jengka yang akan diletakkan semula di Parlimen Maran bagi menggantikan Dun Kuala Sentul.
Buat masa ini, Dun Jengka terletak di bawah Parlimen Kuala Krau. Seramai 22,765 daftar pemilih disenaraikan di Dun Jengka membabitkan 12 daerah mengundi.
Turut mengalami perubahan nama menerusi persempadanan semula itu adalah Dun Paya Pulai yang ketika ini sebahagian daripada Dun Kuala Semantan di bawah Parlimen Temerloh.
Dun Paya Pulai yang mempunyai seramai 11,229 daftar pemilih membabitkan lapan daerah mengundi disyorkan diletakkan di bawah Parlimen Kuala Krau.
SPR dalam notis kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Pahang menyatakan tiada perubahan bilangan kawasan Parlimen dan Dun di negeri ini.
“Terdapat pindaan dan perubahan kepada bahagian pilihan raya negeri membabitkan dua Dun.
“Jumlah bilangan pemilih adalah seramai 740,023 orang yang ditentukan SPR dan diwartakan 13 Mei 2016," katanya dalam buku notis dipamerkan di pejabat SPR Pahang di Wisma Persekutuan di sini.
Notis dan peta kawasan Parlimen serta DUN itu mula dipamerkan kepada orang ramai mulai jam 8 pagi tadi.
Tarikh bantahan syor persempadanan semula itu bermula hari ini sehingga 14 Oktober depan yang boleh dibuat secara bertulis kepada SPR.
Ia hendaklah dihantar kepada Pegawai Pilihan Raya di alamat Pengarah Pilihan Raya Negeri Pahang, Tingkat 8, Wisma Persekutuan, Jalan Gambut, 25000, Kuantan, Pahang.
0 comments:
Post a Comment