Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 7, 2016

MASIH KERJA WALAU KAKI BERBALUT


balut kaki


Saya selalu mengingatkan diri saya dan mereka yang mengikuti kursus penulisan saya bahawa minat itu kunci kepada keseronokan bekerja atau apa sahaja kegiatan dalam hidup.

Apabila ada minat, kita melakukan sesuatu sepenuh hati, tanpa mencari alasan untuk menolak tugas dan tanggungjawab.

Sejak menceburi dunia kewartawanan 43 tahun lalu, saya bersyukur kerana percaya saya mampu menggalas tugas dan tanggungjawab dengan penuh keseronokan.

Dari segi prestasi, saya tidaklah mencapai kejayaan-kejayaan cemerlang, apa lagi hadiah-hadiah dan penganugerahan yang ramai daripada sahabat saya pernah terima.

Kalau ada pun penulisan dan laporan saya yang agak menarik dan mencabar pihak-pihak tertentu atau yang mendedahkan sesuatu yang boleh diberi pengiktirafan, saya tidak pernah kemukakan untuk sebarang peraduan di peringkat mana pun.

Tetapi dari segi keseronokan bekerja, saya terpaksa mengaku saya memang menepati cogan kata saya sendiri, iaitu ‘Tiada kompromi dalam kerja'. Buktinya, saya bersedia membuat liputan kerja dalam apa sahaja bidang dan keadaan sahaja dan bersedia dipindahkan ke mana sahaja pada bila-bila masa.

Saya sudah menyebut dalam artikel terdahlu bahawa saya sudah dipindahkan 12 kali ketika berkhidmat dengan Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) dalam tempoh 31 tahun, meliputi hampir semua negeri di semenanjung.

Sehingga ke hari ini, saya percaya saya masih memegang rekod sebagai wartawan yang paling banyak dipindahkan dalam Kumpulan NSTP, kalaupun tidak diambil kira media keseluruhannya.

Apabila mengenangkan sejarah itu, saya bersyukur kerana ia telah beri peluang kepada saya menimba ilmu, meluaskan pandangan, menambah pengalaman serta mengumpul ramai rakan dan kenalan.

Perpindahan saya ke banyak negeri itu juga memberi saya peluang membuat liputan dan menghasilkan penulisan dari berbagai bidang, sama ada jenayah, mahkamah, sukan, ekonomi, sosial, politik atau dalam lain-lain penulisan berkaitan human interest.

Seperti kata orang secara hipotetikal, kalau waktu boleh diundurkan, saya tetap memilih pergerakan yang sama dalam alam kewartawanan saya yang memberi saya kepuasan dan warna-warni dalam kehidupan saya ini.

Saya tidak menceritakan sebelum ini, apa lagi merekodkan dalam penulisan, tentang sahabat-sahabat yang menganggap apa yang saya lakukan adalah perbuatan ‘gila’ susulan daripada apa yang saya ‘capai’ dalam kerjaya saya dalam arena kewartawanan.

Antara 'pencapaian' saya ialah dalam tempoh 43 tahun dalam dunia kewartawanan, saya tidak pernah mengambil sijil cuti sakit, yang kita sebut sebagai MC, iaitu medical certificate, kecuali sehari, iaitu ketika tidak sihat masa bercuti di utara.

Saya yakin kalau hari itu saya berada di Kuala Lumpur atau berdekatan dengan ibu pejabat, tempat saya bekerja masa itu, saya tetap akan lapor diri untuk bekerja.

Ada sekali saya ‘dipaksa’ oleh doktor untuk cuti sakit dua hari masa bertugas di Perak kerana tidak boleh bercakap disebabkan rengkung tertusuk tulang ikan. Tujuannya adalah untuk saya rehat sebelum menjalani sedikit pembedahan. Tetapi dua hari itu saya ke pejabat juga.

Ada satu lagi kes yang saya ingat dengan jelas adalah mengenai kemalangan. Saya sedang menunggang motosikal ke pejabat di Bangsar pada suatu pagi di hujung 90-an apabila dilanggar lori di satu selekoh. Saya tercampak, luka di lengan dan kaki. Nasib baik, klinik panel hanya kira-kira 60 meter dari tempat kemalangan.

Selepas mendapatkan rawatan dan ubat, dengan luka di kaki dan lengan dibersihkan dan dibalut, saya balik ke rumah di Shah Alam, 25 kilometer dari situ.

Rasanya saya cuti hari itu, tetapi kira-kira sejam kemudian, editor kanan menelefon dan meminta membuat liputan program lawatan dua hari perdana menteri ke Sabah.

Kira-kira enam jam kemudian, kira-kira pukul 5 petang, saya sudah berada dalam pesawat menuju ke Kota Kinabalu, dengan lengan dan kaki berbalut dan langkah yang tempang.

Kawan-kawan menggeleng melihat atau mendengar cerita keadaan dan gelagat saya.

Mungkin ada yang anggap saya rajin tidak bertempat!

Tetapi pada saya, lengan dan kaki saya sudah pun luka, duduk memerap di rumah pun tiada memberi apa-apa kelebihan.

Biarlah saya buat kerja yang saya seronok lakukan, Saya masih boleh bergerak, cuma capik sedikit. Wallahuaklam!


0 comments:

share2