Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 9, 2016

[KUANTAN] PEMILIK LORI KENA DENDA


Pemilik lori kena denda


Seorang pemilik lori bauksit yang menyebabkan kematian seorang pengguna jalan raya setelah tayar lorinya tercabut dan merempuh kereta dinaiki mangsa pada Disember tahun lalu didenda RM28,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tiga pertuduhan berkaitan kes di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.

Tertuduh, Teh Ling Hock, 46, dari Puchong, Selangor turut berdepan hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Unaizah Mohd, tertuduh sebagai pemilik lori didapati gagal memberikan keutamaan paling tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya lain apabila menyebabkan kematian setelah tayarnya tercabut dan terpelanting ke atas jalan raya.

Bagi pertuduhan kedua, Ling Hock didakwa di bawah Seksyen 73(1) Akta Awam Darat 2010 (Akta 715) kerana membuat pengubahsuaian pada kelengkapan kekal kenderaan dengan menambah ketinggian panel pada sisi tanpa kelulusan yang bertentangan dengan syarat am lesen pengendali.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa membenarkan lori miliknya membawa muatan bauksit melebihi berat dibenarkan sebanyak 9,090 kilogram iaitu 43.2 peratus daripada berat maksimum iaitu 21 kilogram.

Kesemua kesalahan itu dilakukannya di Jalan Pintasan Kuantan di sini, kira-kira jam 3 petang, 21 Disember 2015.

Ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah supaya mengurangkan denda dikenakan memandangkan perniagaannya kini semakin merosot dan pada masa sama perlu menanggung tiga anak serta ibunya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Nurasyikin Ja’alam menegaskan, kesalahan tertuduh serius dan perlu diberikan hukuman setimpal supaya dapat memberikan pengajaran.

SPAD menggantung lesen kenderaan Ling Hock sejak 14 April lalu.

Mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh dan menetapkan hukuman denda RM15,000 atau penjara lima bulan untuk tuduhan pertama, denda RM5,000 atau sebulan penjara bagi tuduhan kedua dan denda RM8,000 atau tiga bulan penjara bagi tuduhan ketiga. Tertuduh difahamkan menjelaskan denda tersebut.


0 comments:

share2