Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 18, 2016

[KUANTAN] NORAINI HAMPIR GULUNG TIKAR


Noraini hampir gulung tikar


Selepas 20 tahun berjuang memajukan perniagaan, kini Noraini Rusmin, 58, sudah mampu tersenyum bangga apabila produk alat tulis keluarannya kini semakin diterima pengguna dalam dan luar negara.

Dengan tekad mahu buktikan peniaga Bumiputera mampu berjaya, beliau berusaha dengan gigih mengeluarkan pelbagai produk alat tulis dengan mempertaruhkan jenama Kedidi.

Dibantu suami, Ab Razak Azhari, 59, ibu kepada tiga anak ini, memiliki Syarikat Global Factor Sdn Bhd yang mengeluarkan 15 produk alat tulis seperti pen mata bulat, papan putih, pen penanda (marker), fail, cecair pemadam, pelekat dan dakwat.

“Pelbagai cabaran dan dugaan kami suami isteri tempuh sepanjang tempoh dua dekad tersebut termasuklah diperlekeh pihak tertentu yang tidak yakin dengan produk kami.

“Tumpuan saya kini adalah untuk terus berusaha memperkenalkan produk ini kepada pengguna tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Tinggalkan kerjaya di bank

Noraini juga tidak pernah menyesal berhenti kerja sebagai kakitangan bank di Kuala Lumpur selama 17 tahun semata-mata mahu membuktikan dia mampu berjaya sebagai seorang usahawan pula.

Beliau juga hampir gulung tikar kerana masalah pasaran dan kewangan, namun tidak pernah mematahkan semangatnya untuk bangun semula dan terus melangkah ke hadapan.

“Tinggal 15 pekerja sahaja yang setia menyebabkan saya tidak boleh ‘kalah’ kerana dari sayalah datangnya sumber pendapatan mereka semua.

“Untuk memasarkan produk yang dikeluarkan, pada peringkat awal saya terpaksa memikul tugas sebagai jurujual dengan menawarkan pelbagai tawaran menarik sebagai galakan kepada pihak berminat dengan produk yang dikeluarkan,” katanya yang berasal dari Kampung Pandan, Selangor.

Noraini pernah menangis dan hampir berputus asa apabila diberi pelbagai alasan oleh pegawai kerajaan yang tidak berminat untuk membeli dan antara alasan mereka ialah produk itu tidak terkenal dan kurang dikenali.

“Disebabkan permintaan yang kurang menggalakkan terhadap jenama kami, saya turut berhadapan masalah ketiadaan jurujual yang berminat memasarkan barangan yang dihasilkan,” katanya.

Namun berkat doa, kesabaran dan sokongan padu suami, dia kini boleh berdiri atas kaki sendiri dan meletakkan alat tulis mereka sebaris dengan jenama terkenal lain.

Bersaing secara sihat

Selain memikul tugas promosi dalam dan luar negara, beliau juga bertanggungjawab memasarkan 15 produk yang dihasilkan terutama membabitkan agensi kerajaan dan swasta seluruh negara.

Untuk bersaing dengan pengeluar lain, dia terpaksa menggunakan pelbagai cara sihat seperti memperkenalkan kelebihan yang ada pada produknya selain bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Sebagai contoh, marker yang dihasilkan mampu bertahan selama enam jam sekiranya pengguna terlupa menutupnya, selain matanya boleh ditukar dan dakwat mampu ditambah. Untuk menjaga kualiti, beliau mendapat bekalan dakwat daripada pembekal di German, Korea dan Jepun.

Selain pasaran dalam negara, Noraini berkata, produknya kini sudah berada di beberapa negara lain seperti Mesir, Singapura, Lubnan dan Dubai.

“Dalam usaha memastikan barangan keluaran saya dapat terus kekal dan diterima pengguna, saya sentiasa mementingkan kualiti dan berusaha mengeluarkan produk baru setiap tahun hasil inovasi suami.

“Untuk memperluaskan lagi bidang perniagaan alat tulis ini, saya perlu berani menghasilkan seberapa banyak produk baru mengikut permintaan semasa dan tidak hanya bergantung kepada produk yang ada,” katanya.

Giat promosi produk

Menurutnya, tawaran harga berpatutan dengan pelbagai pakej menarik termasuk konsep jimat yang diperkenalkan juga berupaya menggalakkan pasaran.

Untuk memperluaskan lagi perniagaan yang diusahakan, beliau akan terus membuat promosi ke seluruh negara dengan bantuan agensi kerajaan berkaitan selain turut menjelajah ke setiap sekolah seluruh negara.

Noraini berkata, kilangnya yang terletak di Pusat Pertumbuhan Desa Kampung Soi, Kuantan menggunakan 15 tenaga kerja tempatan membabitkan penggunaan pelbagai jenis mesin.

“Saya bersyukur dengan sokongan agensi kerajaan berkaitan, perniagaan saya mampu bertahan hingga ke hari ini selain menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Kualiti Menteri Besar 2005 dan Anugerah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“Saya berbangga dapat memartabatkan bangsa Melayu dalam bidang perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya yang turut menerima sokongan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Sirim,” katanya.


0 comments:

share2