Baru-baru ini kita bersorak sorai tatkala menonton perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Rio 2016 di antara Lee Chong Wei dan Chen Long. Chong Wei tewas dan mendapat pingat Perak. Sebelum itu, pasangan regu campuran badminton Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying serta pasangan regu lelaki badminton Goh V Shem dan Tan Wee Kiong juga memperoleh pingat perak, Dalam acara renang platform 10M seirama wanita pula, Cheong Jun Hoong danPandelela Rinong memperoleh pingat perak sementara Azizulhasni Awang pula memperoleh pingat gangsa dalam acara lumba basikal Keirin Lelaki.
Akhirnya, kita memperoleh empat pingat perak dan sebuah pingat gangsa. Meskipun terkilan, kita tetap bersyukur dengan kejayaan terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di sukan olimpik musim panas itu. Kehebatan mereka menjadi topik perbualan di mana-mana.
Belum pun reda rasa bangga kita kepada ahli-ahli sukan negara itu, tiba-tiba muncul pula ahli-ahli sukan paralimpik kita yang memperoleh tiga pingat emas. Setakat artikel ini ditulis, kita merangkul pingat-pingat itu melalui acara 100M T36 yang dijuarai oleh Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Lontar Peluru F20 oleh Muhammad Ziyad Zolkefli dan acara Lompat Jauh T20 yang dijuarai oleh Abdul Latif Romly.
Sudah begitu lama kita tidak dibuai perasaan yang begitu gembira dan bangga bila memandang Jalur Gemilang. Sudah begitu lama juga kita tidak berdiri bulu roma apabila terdengar lagu Negaraku berkumandang. Kejayaan ahli-ahli sukan itu memberi sebab kepada kita untuk berasa bangga kepada negara. Kita bangga kerana kita juga sebahagian daripada rakyat Malaysia. Tidak kira apa bangsa dan keturunan, kita punyai perasaan yang serupa.
Ramai yang berkata, kemenangan-kemenangan itu menyatukan Malaysia. Benarkah? Benar untuk beberapa ketika. Selepas itu, rasa penyatuan itu akan surut dan menghilang. Perasaan itu hanya seketika kerana rasa bangga itu datang dari elemen luar, bukan daripada dalam diri.
Sementelah kita berada dalam tempoh sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, elok juga kita menilik ke dalam diri, tebal nipisnya patriotisme di dalam sanubari. Patriotisme adalah suatu perasaan cinta seseorang terhadap negaranya. Ini negara tumpah darahnya, tempat hidup dan matinya. Inilah negara yang akan kita pertahankan kedaulatannya daripada ancaman musuh.
Jika dahulu, ancaman musuh datang dalam bentuk fizikal melalui peperangan yang bertujuan untuk menakluk sesebuah negara. Tidak lama dahulu, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu telah membuat kita berasa terancam. Situasi itu telah menjadikan kita memberi sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan tentera kita, sekurang-kurangnya dengan meredakan perbalahan politik, atau bercakap yang bukan-bukan hingga meniup elemen sengketa sesama sendiri.
Berpuluh-puluh tahun sebelum itu, kita telah bersatu untuk menentang serangan politik British dengan menolak Malayan Union. Kita memperoleh kemerdekaan apabila kita bersatu untuk menamatkan pemerintahan penjajah. Setelah itu, kita berdepan dengan konfrontasi Indonesia dan turut berjaya menghentikan serangan fizikal serta ideologi komunis. Serangan-serangan yang bertahun-tahun itu membuatkan kita punyai rasa patriotisme yang berpanjangan.
Tetapi, pada hari ini, tanpa ancaman-ancaman fizikal itu, kita berasa selesa dan tidak berasa terancam. Kita sudah hilang feel sayangkan negara, hinggakan perasaan bangga dengan kejayaan ahli-ahli sukan itu sudah dijadikan suatu perasaan banggakan negara yang hebat sangat. Padahal, perasaan itu hanya seketika sahaja.
Dalam pada itu, ancaman musuh pada hari ini datang dalam bentuk yang pelbagai melalui serangan ekonomi, serangan sosial, serangan ideologi dan juga serangan agama. Sayang sekali, serangan-serangan dalam bentuk ini dipandang sepi kerana kita tidak berasa ia suatu bentuk serangan yang akan menjadikan kita porak peranda dan akhirnya berbalah hingga menjadikan kita lemah.
Kita tidak akan lagi ditawan secara fizikal. Tetapi ekonomi, sosial, ideologi dan agama kita amat terdedah kepada serangan-serangan yang akan meruntuhkan jatidiri kita sebagai rakyat Malaysia. Lihatlah kedudukan ekonomi kita berbanding dengan negara-negara serantau yang lain. Daripada segi sosial, wajah-wajah siapakah yang berada di sekeliling kita? Bagaimanakah pula konflik dan intrig politik yang tidak bernoktah di dalam negara kita? Dan, bagaimana pula kita yang rata-ratanya rakyat yang beragama, semakin menipis toleransi beragamanya?
Hampir setiap saat, ekonomi, sosial, ideologi dan agama kita diserang secara bertubi-tubi. Kita tidak berasa sakit kerana ia memakan secara dalaman. Namun, akhirnya, ia akan muncul dengan wajah hodohnya. Umpama kanser yang akan menunjukkan wajahnya apabila sampai ke tahap empat. Tatkala itu, kita semua rakyat Malaysia hendak salahkan siapa?
0 comments:
Post a Comment