Putrajaya - Kementerian Pendidikan Tinggi telah menghantar pegawainya ke Mesir untuk berjumpa dengan pelajar Malaysia di negara itu yang menghadapi masalah pembiayaan pengajian seperti dilaporkan baru-baru ini.
Rombongan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian itu, Datuk Kamel Mohamed.
Kementerian dalam satu kenyataan menyebut, matlamat rombongan tersebut adalah untuk berjumpa dengan pemegang taruh dan juga membuat misi pencarian fakta agar gambaran penuh isu tersebut ini dapat diperolehi.
"Rombongan juga akan berusaha mengesahkan maklumat pelajar yang memerlukan bantuan dan universiti mereka agar bantuan dapat diselaraskan dengan kadar segera.
"Kementerian akan terus memberi maklum balas dari masa ke semasa," kenyataan itu dipetik.
Khamis lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan, 150 pelajar Malaysia dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir bakal berdepan penyingkiran ekoran kegagalan membayar hutang yuran pengajian yang mencecah hampir RM4.5 juta secara keseluruhan.
0 comments:
Post a Comment