Johor Bharu - Seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan di Balai Polis Senai, dekat sini awal pagi tadi, selepas dipercayai membuat satu laporan polis palsu berhubung kes samun membabitkan dirinya.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Said berkata, suspek ditahan sebaik sahaja membuat pengakuan tersebut hari ini ketika disoal siasat oleh pihak polis.
Menurut beliau, laporan palsu itu dibuat oleh suspek di balai polis tersebut kira-kira 5 pagi dan mendakwa dirinya disamun tiga lelaki bersenjatakan parang ketika sedang meniaga di sebuah gerai di tepi jalan.
"Bagaimanapun, berdasarkan soal siasat yang dijalankan, polis mendapati kejadian samun tersebut tidak berlaku.
"Sebaliknya, laporan palsu dibuat kerana pengadu telah menggunakan wang hasil perniagaan untuk membantu ibunya membayar hutang di kampung," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurut Razak, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kulai esok, mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan (KK).
Katanya, orang ramai perlu tahu mengenai kesalahan membuat laporan palsu, merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Tambahnya, ini kerana, sepanjang tempoh bermula Januari hingga September ini, sebanyak 32 laporan palsu telah dibuat di daerah itu, dengan 23 kes sudah pun dituduh di mahkamah.
0 comments:
Post a Comment