Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 22, 2016

BAJET 2017, BAJET HARAPAN RAKYAT


Bajet 2017


Shah Alam – Bajet 2017 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober ini diharapkan lebih mesra rakyat.

Laman sesawang bajet2017.najibrazak.com menjadi salah satu medium perkongsian rakyat untuk menyampaikan apa yang mereka mahu melalui Bajet 2017 sejak 5 September lalu.

Tinjauan Sinar Harian pada hari terakhir di laman sesawang itu semalam, mendapati antara cadangan utama yang diutarakan adalah berharap kerajaan membantu rakyat ke arah meringankan kos sara hidup.

Ada yang berpendapat skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) perlu diperbaiki dengan menyalurkannya dalam bentuk bantuan pendidikan, kesihatan dan kemudahan awam.

Terdapat juga cadangan supaya BR1M dihapuskan kerana faedah yang dirasai rakyat dianggap hanya berbentuk sementara dan meminta kerajaan menggunakan wang bagi bantuan itu untuk mengurangkan cukai harian sebanyak 15 peratus.

Antara cadangan lain adalah penggantian peruntukan subsidi minyak masak kepada pertambahan BR1M dan PR1MA bagi membantu rakyat yang perlukan kediaman sendiri.

Begitu juga dengan permintaan supaya kerajaan mengawal harga barang keperluan yang semakin meningkat menerusi tindakan lebih efisien.

Selain itu terdapat cadangan supaya RM10,000 simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dikeluarkan pada umur 35 hingga 40 tahun untuk menampung kos sara hidup atau menjadi modal untuk berniaga.

Bagi kategori perumahan dan kehidupan bandar, cadangan popular adalah meminta kerajaan menyediakan rumah kepada golongan berpendapatan sederhana.

Begitu juga dengan gesaan supaya kementerian berkaitan mengawal harga rumah kerana harga kebanyakan rumah yang dikategorikan sebagai rumah mampu milik masih tinggi.

Terdapat juga cadangan agar perumahan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah diperbanyakkan di kawasan yang memiliki jaringan stesen LRT dan MRT.

Untuk kategori pengangkutan awam, warga kota mahu syarikat-syarikat bas tidak lagi menggunakan bas-bas buruk kerana berisiko.

Ada juga pendapat cadangan tambang murah pada waktu puncak iaitu jam 6 hingga 7 pagi tidak sesuai dan perlu ditukar kepada jam 7 hingga 8 pagi kerana memberi kesan kepada institusi keluarga.

Dalam masa sama, ramai berharap pemberian rebat 10 peratus bagi bayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperkenalkan semula dan dinaikkan dari masa ke semasa mengikut baki tahun bayaran balik.

Rakyat khususnya kalangan pekerja berharap berlaku penyerapan perjawatan tetap bagi pekerja berstatus kontrak di sektor awam.

Untuk kategori pencukaian, perniagaan dan kewangan pula, ramai meminta pihak berkenaan tidak membenarkan pekerja asing berniaga di negara ini.

Ada juga cadangan mahu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan.


0 comments:

share2