Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 9, 2016

AHLI KONGSI GELAP MAUT DITEMBAK


Ahli kongsi gelap maut ditembak


Georgetown - Seorang ahli kongsi gelap maut selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis di hadapan flat Saujana Height, Jalan Telok Kumbar di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun itu maut di tempat kejadian dipercayai terkena tembakan di bahagian kepala.

Menurutnya, ketika kejadian, sepasukan polis sedang membuat rondaan pencegahan jenayah telah terserempak dengan kereta Proton Perdana berwarna perak dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika rondaan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu pejabat Polis Barat Daya mendapati sebuah kereta dari arah Bayan Lepas menuju ke Balik Pulau. Ketika cuba menahannya, suspek terus melepaskan beberapa tembakan ke arah polis. Dia kemudiannya terus memecut keretanya ke arah Teluk Kumbar dan polis mengejarnya sejauh 10 kilometer.

“Ketika tiba di Jalan Genting, Balik Pulau, suspek memberhentikan kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah polis yang cuba memeriksanya. Polis kemudiannya membalas tembakan bagi mempertahankan diri. Beberapa das tembakan polis terkena suspek dan suspek maut dalam keretanya,” katanya kepada media semalam.

Abdul Ghafar berkata, hasil siasatan, suspek yang berasal dari Bukit Mertajam itu melepaskan lapan das tembakan ke arah pasukan polis.

“Tiada anggota polis yang cedera. Kita syaki, suspek sedang merancang melakukan jenayah berikutan suspek memakai topeng ski.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menjumpai sepucuk pistol automatik berwarna hitam jenis Glock buatan Austria berserta kelopak dan peluru, 29 butir peluru .38SPL dan sebutir peluru .45 auto. Berdasarkan jenis peluru yang dijumpai, kita percaya suspek mempunyai senjata api yang lain tetapi tidak dijumpai dalam kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kereta berkenaan milik suspek manakala pistol berkenaan dipercayai diperolehi secara haram dari negara jiran.

“Berdasarkan daripada pasport suspek yang dijumpai, dia baru pulang dari Thailand dua hari lalu. Kita percaya, semua senjata api itu diperolehi dari negara berkenaan. Senjata api itu digunakan untuk memeras ugut dan suspek ada lima rekod jenayah lampau melibatkan peras ugut.

“Namun, suspek bukan orang dikehendaki polis. Siasatan turut mendapati, suspek positif dadah dan pengidap virus HIV. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh,” katanya.


0 comments:

share2