Los Angeles - Bintang Bollywood terkenal Shah Rukh Khan meluahkan rasa kecewanya di laman Twitter susulan penahanannya oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, lapor BBC News.
Bagaimanapun masih tidak jelas sebab dan berapa lama selebriti itu ditahan.
"Saya sangat memahami dan menghormati sistem keselamatan setiap negara, namun ditahan di Imigresen AS setiap kali benar-benar teruk," tulisnya dilaman Twitter miliknya.
Sebelum ini, pada tahun 2012, rakyat India melahirkan reaksi marah selepas aktor itu pernah ditahan selama 90 minit di lapangan terbang di White Plains berhampiran New York.
Shah Rukh Khan ditahan selama dua jam di Lapangan Terbang Newark dan dibebaskan selepas campur tangan kedutaan India.
Walaupun tidak ada komen daripada pegawai Imigresen AS, Penolong Setiausaha Jabatan Negara AS mengenai hal ehwal Asia selatan dan tengah, Nisha Biswal berkata di laman Twitter kepada pelakon itu, dia memohon maaf atas kerumitan itu sambil menambah, diplomat AS juga menghadapi situasi seumpama ini.
Dalam pada itu, sesetengah rakyat India turut mempersoalkan mengapa bintang terkenal Bollywood ditahan secara rutin di lapangan terbang AS.
Shah Rukh Khan telah muncul dalam lebih daripada 70 filem dan dianggap sebagai salah satu selebriti yang paling dikenali dan popular di India.
0 comments:
Post a Comment