Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 23, 2016

[ROMPIN] PEKERJA ASING SYARIKAT PEMBERSIHAN DICEKUP


Pekerja asing syarikat pembersihan dicekup


Seorang lelaki warga asing tidak sempat menikmati hasil samun selepas diberkas sepasukan polis di rumah sewa yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pecah rumah di Taman Sepakat Maju, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, kejadian itu disedari oleh tuan rumah ketika beliau tiba di rumah sekitar jam 5 petang dan mendapati tingkap rumah terbuka.

Menurutnya, pengadu masuk ke dalam rumah dan mendapati keadaan berselerak dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati ada barang yang hilang lalu bertindak membuat laporan kepada pihak polis.

“Pasukan polis yang segera ke lokasi kejadian telah melakukan siasatan dan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh saksi, suspek yang merupakan warga Myanmar, 20, telah berjaya ditahan di rumah sewanya sekitar jam 6.30 petang.

“Serbuan oleh sepasukan polis di rumah sewa yang dihuni kira-kira 20 pekerja asing itu telah menemui barang yang telah dicuri iaitu satu unit televisyen plasma saiz 39 inci jenama Sharp dan satu unit Playstation di sebuah bilik,” katanya kepada pemberita.

Muhammad Aidil berkata, barang curi yang ditemui telah dirampas manakala siasatan awal terhadap suspek yang merupakan pekerja sebuah syarikat pembersihan itu mendapati beliau tidak memiliki pasport.

Menurutnya, suspek yang kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah serta mencuri itu juga telah mengaku mengambil barang-barang tersebut sekitar jam 12.00 tengahari.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada saksi kejadian yang membantu dan mengecam muka suspek hingga dia berjaya ditahan dalam tempoh kira-kira 1 jam 30 minit selepas aduan diterima.

“Ini merupakan satu kejayaan yang besar buat Polis Rompin apabila dapat menangkap suspek dalam masa singkat sekali gus membuktikan bahawa kerjasama orang awam merupakan sumbangan besar dalam usaha membanteras jenayah,” katanya.


0 comments:

share2