Alor Setar - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bercadang mengkomersialkan pokok guarana sebagai tanaman baharu menggantikan tanaman ketum yang ditolak sebelum ini.
Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainal Abidin berkata, pokok guarana akan dimajukan kerana berpotensi tinggi membantu pekebun kecil dalam keadaan harga getah tidak menentu akhir-akhir ini.
Menurutnya, pokok guarana mampu memberi pulangan lumayan kepada pekebun kecil, sekali gus boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan, selain tanaman sedia ada.
“Berdasarkan kajian, harga pokok guarana mampu mencecah antara RM200 hingga RM300 bagi setiap satu kilogram (kg),” katanya dalam sidang media pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi Risda bersama Pemaju Masyarakat Risda (PMR) dan Pegawai Seranta (PSR) Kedah 2016 di Pejabat Risda Kedah, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Risda, Zainabon Ismail; Pengarah Risda Kedah, Ahmad Bahari; Ketua PSR Malaysia, Datuk Ton Zalani Mat Darus dan Ketua PSR Kedah, Mohd Abdullah.
Menurut beliau, satu pokok guarana mampu membuahkan hasil lebih kurang 50 kg dalam satu-satu masa, sekali gus membantu pekebun kecil dalam keadaan harga tidak stabil.
Katanya, pengusaha berpeluang meraih pendapatan mencecah RM1,000 bagi setiap 0.4 hektar tanaman dalam tempoh setiap enam bulan.
Untuk itu, Zahidi berkata, pihaknya merancang mengeksport tanaman guarana yang mendapat permintaan meluas dari luar negara seperti Jepun di atas khasiat yang dimiliki pokok tersebut.
"Buah guarana juga memiliki manfaat dari segi perubatan, kesihatan mahupun kecantikan, termasuklah untuk kekuatan dalaman dan darah.
"Sebuah syarikat dari Pulau Pinang sudah bersetuju melaksanakan projek tanaman guarana dalam peringkat awal untuk diproses dan dieksport.
“Untuk permulaan, kira-kira 100,000 hektar tanah akan digunakan bagi tanaman guarana, di mana bekalan benih pokok diperoleh dari Brazil ,” katanya.
Jelas Zahidi lagi, projek perintis itu adalah inisiatif Risda membantu pekebun kecil yang terjejas akibat ketidakstabilan harga getah.
Dalam perkembangan lain, katanya, pihak Risda akur keputusan kerajaan tidak meluluskan cadangan menanam pokok ketum secara komersial untuk dieksport.
Namun begitu, Zahidi berkata, dia berharap tanaman ketum dapat dipatenkan terlebih dahulu untuk memudahkan sebarang tujuan pada masa akan datang.
Malah katanya, pihaknya mengalu-alukan cadangan dari semua pihak bagi mencari tanaman bersesuaian untuk diusahakan pekebun kecil demi meringankan bebanan mereka.
0 comments:
Post a Comment