Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 16, 2016

RAKAM FENOMENA METEOR PERSEID


Rakam fenomena Meteor Perseid


Telok Kemang - Fenomena juraian Meteor Perseid yang berlaku baru-baru ini dapat disaksikan dengan jelas ketika objek itu melintasi ruang angkasa Balai Cerap Telok Kemang.

Penolong Pengurus BCTK, Muzamir Mazlan berkata, Balai Cerap Teluk Kemang juga berjaya merakam juraian meteor berkenaan sekitar jam 4.41 pagi, Ahad lalu yang mana kadar juraiannya sekitar 150 hingga 200 meteor per jam.

Menurutnya, jumlah itu berbeza berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar 80 meteor per jam.

"Perbezaan jauh ini disebabkan fenomena ‘outburst’ di mana kadar juraian meteor meningkat sehingga dua kali ganda.

"Juraian Meteor Perseid ini boleh disaksikan terus tanpa perlu alat bantuan khas seperti teleskop,” katanya kepada Sinar Harian ketika Program Khas Fenomena Juraian Meteor Perseid di BCTK.

Hadir sama, Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang, Ahmad Zaki Hamzah.

Muzamir berkata, setiap tahun sejak 2013, pihaknya tidak pernah ketinggalan mengadakan program khas fenomena juraian Meteor Perseid.

"Antara pengisiannya adalah sesi sembang santai bersama petugas balai cerap mengupas isu tentang meteor, kita dan bulan serta astrofotografi meteor.

"Orang ramai yang hadir juga dapat menyaksikan beberapa rakaman visual angkasa lepas yang dirakam petugas balai cerap," katanya.

Muzamir menambah, program berkenaan antara usaha pihaknya untuk memupuk minat orang ramai mendekati serta memahami ilmu falak.

“Pada Disember ini, fenomena Meteor Geminids dijangka akan berlaku dan kita tidak akan ketinggalan mengadakan program pada hari berkenaan,” katanya.

Terdahulu, hampir 50 orang hadir mengikuti program khas fenomena juraian Meteor Perseid di Balai Cerap Telok Kemang.


0 comments:

share2