Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 24, 2016

PROTON DIJANGKA KENALPASTI RAKAN STRATEGIK


Proton


Proton Holdings Berhad (Proton) dijangka dapat mengenal pasti rakan strategik asing mereka menjelang suku pertama tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu tempoh masa perlu diberikan kepada syarikat itu kerana setiap tindakan bagi mendapatkan rakan strategik memerlukan penilaian yang amat teliti.

Beliau berkata, pemilihan rakan strategik yang betul dalam membantu melonjakkan semula Proton, dilihat sebagai satu usaha besar yang perlu dilakukan oleh syarikat automotif negara itu.

"Bagi pihak kerajaan, kami sudah membantu dalam bentuk pembiayaan pinjaman mudah, dan salah satu syarat yang perlu Proton patuh ialah mencari rakan strategik asing.

"Saya difahamkan, menjelang suku pertama tahun depan, Proton sudah mampu mengenal pasti rakan strategik ini, dan ia pastinya satu usaha besar dan banyak perbincangan yang perlu dilakukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Proton Persona generasi kedua di sini hari ini.

Menurut Mustapa kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan yang dibuat Proton untuk memilih syarikat asing sebagai rakan strategik mereka.

Sebelum ini, beberapa syarikat automotif terkemuka asing dilapor menunjukkan minat untuk menjadi rakan strategik Proton, dan kerajaan akan menyerahkan kepada syarikat itu untuk membuat pemilihan sendiri bagi meningkatkan kembali prestasi mereka.

Kerajaan juga meluluskan permohonan Proton untuk mendapatkan pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion bagi membantu memulihkan aliran tunai syarikat berkenaan.


0 comments:

share2