Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 12, 2016

KWSP MALAYSIA DI LANDASAN BETUL


kwsp


Kuala Lumpur - Malaysia berada di landasan yang betul untuk menambah baik pengurusan jaminan sosial tenaga kerjanya menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Pengasas World Pension Summit, Harry‎ Smorenberg.

Beliau memuji profesionalisme dana pencen itu selepas melihat setiap langkah proses di KWSP sendiri dan kagum dengan pembelanjawan serta keupayaannya memberikan nasihat kewangan.

"Saya amat menghormati apa yang mereka (KWSP) capai setakat ini dan saya percaya mereka perlu diiktiraf. Membandingkan mereka dengan firma-firma pencen di Amerika Syarikat dan Eropah, saya rasa mereka mencapai standard.

"Mereka juga kini adalah firma pencen pertama di dunia yang melancarkan skim pencen patuh Syariah dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka atas kejayaan itu," katanya kepada Bernama di luar acara Persidangan Jaminan Sosial Antarabangsa 2016, di sini, semalam. 

Smorenberg berkata meskipun banyak syarikat pencen Barat kini semakin memberi penekanan kepada sosial dan tadbir urus serta melindungi alam sekitar, syarikat-syarikat patuh Syariah telah pun mematuhinya secara semula jadi.

"Jadi saya rasa ia adalah satu langkah yang baik oleh KWSP dan perlu diingatkan orang Islam ramai di sini (Malaysia) dan jumlahnya semakin meningkat. Kita perlu menampung keperluan itu," katanya.

Beliau bagaimanapun terkejut apabila mendapati 44 peratus daripada tenaga kerja Malaysia, terutamanya yang berpendapatan rendah, tidak termasuk dalam skim pencen itu.

Semasa sesi ketiga semalam, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) KWSP Tunku Alizakri Alias mendedahkan 44 peratus rakyat Malaysia tidak dilindungi oleh sistem perlindungan sosial menyeluruh yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. 

"Peluang bagi mereka untuk terjerumus ke dalam kancah kemiskinan juga adalah satu bebanan sosial pada masa hadapan. Walau apapun juga, ia perlu dibayar kerana orang perlukan sokongan kewangan untuk menjalani kehidupan mereka selepas mereka bersara.

"Jadi, lebih baik mula menganjurkannya sekarang dan pastikan mereka menyertai struktur pencen daripada menunggu sehingga bil perlu dibayar. Dan antara cabaran utama untuk menambah baik pengurusan jaminan sosial adalah untuk menyertakan sekali kumpulan berpendapatan rendah ini," kata Smorenberg.

Beliau juga menegaskan semua majikan, tanpa mengira sektor, perlu memasukkan pekerja mereka dalam skim pencen agar tenaga kerja sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan asas.

Persidangan dua hari itu bertemakan, "Active Ageing: Live Long and Prosper" yang bermula semalam, dianjurkan bersama oleh KWSP untuk membincangkan tentang komuniti berusia yang sihat dan membentuk masyarakat mesra usia, serta menggalakkan pembabitan warga tua dalam landskap ekonomi dan sosial.


0 comments:

share2