Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 11, 2016

[KUANTAN] SEDIH HILANG TEMPAT BERGANTUNG


Sedih hilang tempat bergantung


“Kami rancang nak beli barang bayi hujung bulan ni, tetapi ALLAH sebaik perancangan. Tidak sangka suami pergi dahulu sedang saya masih perlukan dia bersama empat anak,” kata Rosmaliza Ishak, 35, yang hilang tempat bergantung selepas suaminya, Asmadinazahudin Nagimat, 44, meninggal pada 4 Ogos lalu di Rumah Murah Kampung Bahagia, Beserah di sini.

Dia yang sedang sarat mengandung tujuh bulan masih buntu memikirkan nasib mereka anak beranak kerana tidak mempunyai sumber pendapatan selepas pemergian suaminya.

Asmadinazahudin yang merupakan Tok Siak Masjid RRM Batu Hitam di sini dikatakan hanya mengalami demam panas sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi Rosmaliza, Khamis lalu.

“Sebelum arwah pergi dia ada minta maaf kepada saya dan anak-anak, dia juga mahu saya jaga anak-anak kami hingga jadi orang berguna.

“Selepas menyebut ALLAH dia terkulai dan meninggal. Saya sangka dia pengsan, namun selepas panggil ambulans, dia disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Anak pasangan itu, Siti Asnur Intan Baiduri, 13, Shah Muhammad Hang Tuah Aidilfitri, 12, Shah Muhammad Putra Huwais Al-Qarni, 11 dan Nur Atirah Qasturi Jannah,5, masih kecil dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Beserah dan Tahfiz Hajah Maimunah.

Asmadinazahudin yang mempunyai kad OKU dan menjual santan secara kecil-kecilan di depan rumah, sempat berpesan kepada Rosmaliza untuk menamakan anak yang bakal lahir, Muhammad Ibrahim Adam sekiranya lelaki.

“Dia ada beritahu nama anak perempuan juga, tetapi saya tidak ingat nama apa diberi itu kerana dia lebih kerap menyebut nama Muhammad Ibrahim Adam,” katanya yang tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM200 sebulan.

Rosmaliza berkata, dia mengharapkan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi membeli barang keperluan bayi kerana dijadualkan bersalin Oktober depan.


0 comments:

share2