Singapura - Seorang lelaki berusia 49 tahun yang mencabul kehormatan sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dalam tempoh 12 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 11.5 tahun dan 15 sebatan rotan, semalam, lapor Berita Mediacorp.
Tahir Hassan dilaporkan telah mengaku mencabul beberapa mangsa kanak-kanak dalam tempoh lebih 10 tahun sejak 1995.
Tahir mengunjungi taman-taman permainan kanak-kanak dan juga kawasan rumah untuk mencari mangsa dengan berpura-pura menjual losen urut dan minyak wangi.
Pada September 2003, Tahir mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang kurang daya penglihatan pada sebelah matanya dengan mendakwa mampu mengubati kanak-kanak tersebut.
Tahir kemudian mengarahkan kanak-kanak perempuan yang ketakutan itu supaya menanggalkan seluar dan melakukan serangan seksual terhadapnya sebelum melepaskan budak itu.
Ibu kanak-kanak itu kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.
Pada tahun 2005, Tahir dikatakan menjual lampu dari rumah ke rumah dan melakukan perbuatan keji itu terhadap kanak-kanak yang sendirian.
Dalam satu insiden berasingan pada bulan Oktober 2010, Tahir mencabul dua budak perempuan berusia 13 dan 7 tahun di kawasan perumahan.
Namun , pada Oktober 2015, Tahir ditangkap setelah mencabul seorang budak lelaki berusia 10 tahun dan juga adik perempuannya yang berusia tujuh tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, James Chew menuntut mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara antara 12 hingga 14 tahun dengan 18 hingga 21 sebatan.
"Ini adalah kes yang sangat mengerikan di mana seorang pesalah seksual berleluasa di kawasan kejiranan, mencari kanak-kanak dan mencabuli mereka demi memuaskan nafsunya," katanya.
Meskipun Tahir sudah didiagnosis dengan pedofilia, James merujuk kepada laporan psikiatri yang menyatakan bahawa tiada kaitan antara kesalahan Tahir dengan masalah yang dialaminya.
“Masalah itu tidak mengganggu keupayaan seseorang untuk membuat pilihan rasional dan pro-sosial,” katanya.
0 comments:
Post a Comment