Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 23, 2016

DITAHAN BUAT KENYATAAN TAHYUL TERHADAP SULTAN JOHOR


Sultan Johor


Johor Bahru - Polis Johor menahan seorang lelaki kerana dipercayai bertanggungjawab membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi aplikasi media sosial, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, suspek berumur 34 tahun itu ditahan di Jalan Tengah, Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas, Pulau Pinang, kira-kira jam 5.05 petang.

Menurutnya, polis turut merampas dua buah telefon bimbit jenis Leagoo Elites dan Nokia yang dipercayai digunakan suspek tersebut.

"Ahad lepas, pada jam lebih kurang 6.40 petang, kami menerima laporan polis berkaitan penyalahgunaan laman media sosial.

"Laporan tersebut adalah berkenaan satu kenyataan jelik terhadap Sultan Johor yang diterima pengadu melalui aplikasi WhatsApp yang berunsur tahyul.

"Kenyataan jelik yang dikeluarkan boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakam selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu selepas disabitkan," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu atau menyakitkan hati, menganiaya, mengugut serta mengganggu orang lain.

"Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, sifat hormat-menghormati serta kesopanan dan kesusilaan di antara satu sama lain adalah penting untuk menjamin keharmonian sebuah negara.

"Saya juga mengingatkan bahawa Polis Johor tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terlibat," katanya.


0 comments:

share2