Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 28, 2016

DIDIK SI CILIK SAYANGI MALAYSIA


Didik si cilik sayangi Malaysia


Ipoh – Hampir 300 murid cilik dari 20 tadika sekitar Ipoh berkumpul bagi menyertai Program Inovasi Alam Cilik yang dianjurkan Taj International College (TIC) baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tina Tajuddin berkata, program tersebut bertujuan menyemai semangat kemerdekaan selain mendedahkan kepentingan alam sekitar dan juga konsep menabung kepada kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun.

"Konsep yang diperkenalkan adalah sayangi bumi atau secara spesifiknya sayangi Malaysia, seiring sambutan kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos.

“Program ini turut disertai kanak-kanak pelbagai bangsa yang menunjukkan konsep 1 Malaysia. Pada masa sama itulah nilai kemerdekaan yang kita ada dan untuk sayangi Malaysia, mereka mesti bersatu padu.

“Bagi meningkatkan semangat kemerdekaan dalam jiwa kanak-kanak ini, mereka bersama-sama menyanyikan lagu-lagu patriotik dan menyertai peraduan mewarna bendera Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPN Perak, Aznan Alias yang mewakili Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Lebih menarik, program ini turut disertai kanak-kanak istimewa pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Jelapang Jaya.

Tina berkata, program ini turut memberikan impak baru dan positif dalam dunia perkembangan pendidikan awal kanak-kanak masa kini.

"Pembelajaran luar kelas dapat membuka minda kanak-kanak, bukan sekadar dapat ilmu dari kelas," katanya.


0 comments:

share2