Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 28, 2016

[BENTONG] KESESAKAN BAKAL DIATASI


Kesesakan bakal diatasi


Kajian pembinaan landasan kereta api pantai timur dari Kuala Lumpur ke Kuantan melibatkan perincian khusus mengenai kos pembinaan dan kesan ekonomi kepada penduduk setempat kini di peringkat akhir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada masa ini pihaknya mendapatkan pandangan daripada perunding terlibat dan masih menunggu kajian mengenai sokongan kewangan laluan sepanjang lebih 200 kilometer itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kos pembinaan dari Kuala Lumpur ke Bentong lebih tinggi memandangkan terowong laluan di kawasan Genting Highlands perlu dibina berbanding dari Bentong ke Kuantan yang hanya melalui laluan rata.

“Saya yakin landasan kereta api ini cukup penting bagi pembangunan pantai timur yang mana kalau dahulu Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein bina lebuh raya Kuala Lumpur-Karak yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan pantai timur melalui Lebuhraya Pantai Timur.

“Sekarang saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ini adalah satu lagi projek yang cukup penting iaitu landasan kereta api untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan pantai timur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Karnival Bentong 2016 di Dataran Bentong di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MCA Pahang, Senator Datuk Hoh Khai Mun; Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Bentong, Muhammad Shahid Ismail.

Tiong Lai berkata, pembinaan laluan berkenaan akan melalui bandar-bandar utama di pantai timur termasuk Bentong dan Mentakab sehingga ke Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya, pembinaan landasan kereta api baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi lebih pesat kepada negeri Pahang dan kawasan berhampiran khususnya.

“Kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di kawasan lebuh raya termasuk Lebuhraya Pantai Timur khususnya setiap kali musim perayaan juga dapat dikurangkan,” katanya.


0 comments:

share2