Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 26, 2016

PIHAK SURAU MOHON PERTIMBANGAN JAIS


Pihak surau mohon pertimbangan Jais


Kundang - Pengurusan Surau Al-Falah Kampung Baru Kundang, di sini terpaksa membuat laporan polis selepas diugut seorang individu yang tidak berpuas hati berhubung pembesar suara digunakan.

Pengerusinya, Abd Rashid Yahya berkata, pada 1 Ramadan lalu, lelaki berkenaan datang ke surau ketika jemaah mahu menunaikan solat Subuh.

“Dua kali dia datang marah-marah suruh perlahankan pembesar suara sebab ganggu waktu tidurnya. Pada 13 Jun, dia datang lagi sekitar jam 8 pagi mengulangi permintaan sama sebelum dia beredar dalam keadaan tidak puas hati.

“Dia kata akan berbuat sesuatu selepas pihak surau tak endahkan permintaannya, bimbang akan menimbulkan perkara tidak diingini kami buat laporan polis pada hari sama,” katanya.

Beliau yang juga imam surau berkenaan berkata, sepanjang 15 tahun surau tersebut beroperasi, insiden tersebut adalah pertama kali berlaku sehingga menyebabkan campur tangan daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengeluarkan arahan supaya pihak surau memperlahankan pembesar suara melalui surat diterima 23 Jun lalu.

“Kami akur arahan kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Sekarang hanya dua pembesar suara digunakan berbanding enam unit keseluruhannya.

“Tapi kami mohon Jais pertimbang semula arahan itu dan minta supaya perbincangan dibuat memandangkan keputusan dibuat berdasarkan satu aduan sahaja yang lebih kepada permintaan individu,” katanya.

Jelasnya, pembesar suara itu digunakan untuk laungan azan lima waktu dan azan Subuh menjadi kuat disebabkan keadaan sunyi serta jalan tiada kenderaan.

“Dia marah sebab azan terlalu kuat dia tak boleh tidur. Bukan kami pasang ayat al-Quran sementara menunggu waktu atau ceramah. Azan tak sampai lima minit dan sebelum ini tak pernah orang mengadu bising.

“Kami perlukan sokongan supaya operasi kami tidak terganggu dan berharap perkara ini diselesaikan secara berhemah tanpa melibatkan sebarang permusuhan kaum.

“Kami juga menerima maklumat sebahagian penduduk di taman perumahan berhadapan jalan tidak lagi mendengar azan selepas jumlah pembesar suara dikurangkan,” katanya.


0 comments:

share2