Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, June 4, 2016

SELENGGARA KOLAM TADAHAN TERBIAR


Selenggara kolam tadahan terbiar


Kulai - Penduduk di kawasan perumahan sekitar Batu 21, di sini, menyuarakan kebimbangan terhadap kolam tadahan hujan yang lama tidak diselenggarakan dan dikhuatiri boleh menyebabkan masalah banjir berulang.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Kulai Baru 2, Chen Boon Kin, 56, berkata, sebelum ini kawasan perumahan berhampiran kolam tadahan itu sering dilanda banjir, namun masalah selesai selepas kolam itu dinaik taraf, kira-kira tujuh tahun lalu.

Namun katanya, penduduk tetap bimbang kerana kolam itu tidak diselenggarakan sejak lebih lima tahun lalu.

“Kolam ini dah lama tak dibersihkan, malah baru-baru ini telah dua kali kejadian ikan mati, mungkin disebabkan air terlalu kotor akibat mendapan di dalam kolam.

“Ketika cuaca panas, ia turut mengeluarkan bau busuk. Penduduk bimbang kolam tadahan ini tidak dapat menampung air yang terlalu banyak ketika hujan lebat hingga menyebabkan banjir,” katanya.

Boon Kin berkata, kesan trauma ketika berdepan banjir buruk sebelum ini masih belum pulih sepenuhnya kerana penduduk terpaksa menanggung banyak kerugian akibat kemusnahan harta benda.

“Setiap kali hujan lebat, saya akan balik dari tempat kerja dan datang ke kolam tadahan ini untuk lihat paras air. Penduduk memang rasa tak tenteram kerana trauma dengan kejadian banjir sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Bukit Batu, Jimmy Phua Wee Tse berkata, pihaknya telah beberapa kali merujuk masalah itu kepada agensi berkaitan, namun dimaklumkan tidak mempunyai peruntukan menjalankan kerja penyelenggaraan.

“Sebelum ini mereka ada datang bersihkan bangkai ikan yang terlalu banyak mati dalam kolam ini tetapi kerja penyelenggaraan secara menyeluruh tidak dilakukan.

“Kita khuatir keadaan kolam ini akan terjejas, malah mendapan tanah dapat dilihat dengan jelas hingga mula membentuk sebuah pulau kecil di tengah kolam,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan banjir berulang.


0 comments:

share2