Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 7, 2016

SEBAK LIHAT VIDEO ALLAHYARHAM NORIAH KASNON


Sebak lihat video Allahyarham Noriah Kasnon


Sungai Besar - Tayangan video mengenang Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon yang terlibat dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu mengundang rasa sebak sebahagian kakitangan kementerian dan orang ramai yang hadir pada Program Hello Komoditi Sungai Besar, sebentar tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Koko Malaysia, Datin Norhaini Udin antara yang dilihat menitis air mata sebaik video itu ditayangkan sebelum majlis itu dirasmikan Pemangku Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Nancy Shukri.

Norhaini ketika ditemui berkata, kehilangan timbalan menteri di kementerian itu amat dirasai, apatah lagi arwah disifatkan sebagai seorang yang mesra pegawai dan kakitangan selain seorang yang gigih bekerja.

"Arwah (Noriah) seorang yang baik budi pekertinya.. walaupun saya tidaklah rapat dengan beliau, tetapi perasaan sedih itu tetap dirasai," katanya.

Sementara itu, Nancy dalam ucapannya berkata, beliau amat menghargai sumbangan dan jasa Noriah yang telah banyak membantu dalam pembangunan pekebun kecil komoditi di negara ini khususnya di Parlimen Sungai Besar.

"Saya juga hargai tetamu jemputan khas kita iaitu anak-anak arwah Tan Sri Noriah yang dapat melapangkan masa untuk hadir pada majlis ini," katanya.

Tragedi itu mengorbankan enam penumpang helikopter itu termasuk Noriah dan suaminya, Asmuni Abdullah serta Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Turut terkorban, Ketua Setiausaha Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.


0 comments:

share2