Melaka - Rangka manusia yang masih berseluar ditemui di sebuah ladang sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar, Jasin di sini Sabtu lalu.
Rangka itu ditemui dua lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun ketika hendak memikat ayam hutan di kawasan berhampiran kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sampornak Ismail berkata, bagaimanapun laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Udang, Melaka Tengah kira-kira jam 11 malam selepas kedua-dua sahabat itu pulang ke rumah.
"Kita ke lokasi seperti dilaporkan dan menemui satu rangka dipercayai manusia berada di kedudukan 100 meter dari jalan utama dan mangsa disyaki mati dua hingga tiga minggu yang lalu.
"Tiada kesan terbakar ditemui dan setakat ini kita akan klasifikasi kes sebagai mati mengejut.
"Semua rangka dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, sebuah keluarga yang membuat laporan polis di Balai Polis Tebong, Alor Gajah berhubung seorang lelaki hilang sejak 22 Mei lalu sudah dipanggil untuk membuat pengecaman.
S Manikumar, 34, dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Taman Kejora, Tebong, di sini selepas keluar bertemu rakan dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi milik sepupunya.
Bapanya, M Subramaniam, 65, berkata, seorang lagi anak lelakinya yang dipanggil Manimaran menerima mesej dari anak ketiga dari empat beradik itu keesokan hari.
"Manikumar mesej abangnya, Manimaran dan beritahu jika berlaku apa-apa pada dirinya, jangan lepaskan empat nama yang diberi. Nama-nama itu adalah kawan-kawannya dan abangnya buat laporan di Balai Polis Batu Berendam.
"Kami risau dan cari di merata-rata tempat di Melaka sehinggalah semalam (kelmarin) polis datang rumah dan tanya Manikumar keluar rumah pakai baju dan seluar apa?,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini.
Menurut Subramaniam, polis turut memintanya datang ke hospital, semalam untuk pengecaman, malah dia difahamkan laporan bedah siasat hanya diperoleh selepas seminggu.
0 comments:
Post a Comment