Pembabitan gadis muda ini dalam bidang kesan solekan khas baharu sahaja berusia dua tahun.
Namun, kreativiti dimiliki Haneesa Abdullah sangat menakjubkan!.
Lihat sahaja, kehebatan solekan artistik daripada gadis berusia 21 tahun ini yang dipaparkan di laman sosial bergambarnya, Instagram.
Bagaikan mendapat sentuhan profesional, pelbagai karakter seperti zombi, wanita tua, makhluk asing, Iron Man, Hulk dan tengkorak berjaya digambarkan dengan begitu baik.
Lebih menarik, setiap lukisan itu berjaya merubah hampir 100 peratus wajahnya yang dijadikan ‘kanvas’ eksperimen.
"Saya memang minat melukis sejak kecil lagi.
"Namun, saya hanya terlibat secara serius dalam bidang seni solekan selepas tamat belajar di sekolah menengah," katanya kepada Zass.
Mengagumkan lagi, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini mempelajari teknik solekan hanya melalui Internet.
"Saya bermula ketika sedang menyambung pengajian di Universiti Lim Kok Wing.
"Biasalah, namapun perempuan, pasti akan mencuba untuk belajar bersolek.
"Jadi, saya banyak membuat rujukan mengenai solekan di laman Youtube. Tetapi, selepas beberapa bulan, saya mulai bosan," katanya.
Situasi itu mendorongnya untuk terus mencari inspirasi terhadap solekan yang lebih kreatif dan artistik menerusi medium sama.
"Oleh kerana saya bosan melukis menggunakan kertas, jadi saya mencari sesuatu yang baharu untuk dilakukan.
"Apabila melihat lukisan muka di You Tube, saya teruja untuk mencuba apatah lagi selepas melihat wajah sendiri boleh berubah dalam karakter yang berlainan," katanya.
Banyak mengambil inspirasi daripada artis dari dalam dan luar negara seperti Madeyewlook, Glam & Gore, Ellie35x, Dwaynedkong dan Maria Malone, minat Haneesa terhadap lukisan wajah tercetus ketika berada di dalam bilik sewaktu dirinya dalam keadaan bosan.
"Karakter Scorpion daripada The Mortal Kombat merupakan solekan artistik yang pertama saya memuat naik di Instagram.
"Sejak itu, ramai yang menyokong penglibatan saya dalam bidang ini dan keadaan itu membuatkan semangat saya terus membuak-buak," katanya.
Tambah anak bongsu daripada tiga beradik ini lagi, keadaan itu menyebabkan ada yang menjemputnya untuk melukis di pelbagai acara keramaian seperti sambutan hari jadi, perayaan Halloween, solekan pancaragam mahupun solekan pelakon filem amatur daripada pelajar.
"Biasanya, untuk keseluruhan wajah, harga bermula daripada RM150. Namun, ia boleh mencecah sehingga RM500 bergantung kepada solekan.
"Secara tidak langsung, saya mendapat duit poket tambahan.
"Alhamdulillah, saya kini boleh dikatakan sudah menguasai kemahiran melukis muka," katanya.
Unik dan pelik
Kata Haneesa lagi, tidak ramai jurusolek yang mahu terjun ke dalam bidang ini.
Namun, akuinya, kerjaya ini mendapat tempat dalam kalangan mereka yang mahu tampil dengan imej unik dan pelik.
"Sebenarnya, bukan mudah untuk merubah wajah seseorang kerana setiap tekstur muka adalah berbeza.
"Bahkan, seorang pelukis juga perlu bijak ‘menghidupkan’ sesuatu karakter," katanya.
Bagaimanapun, katanya, proses solekan asasnya sama seperti teknik solekan biasa.
"Apa yang berbeza, saya perlu melakukan pelbagai ‘muslihat’ (trick) bagi mewujudkan impak 3D pada wajah.
"Dalam melukis muka, cabaran terletak pada bentuk muka yang pelbagai seperti kurus, tembam, dan sederhana," katanya.
Kata Haneesa, pernah gambar lukisan mukanya menjadi viral di laman media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap dirinya.
"Sudah tentu, setiap solekan artistik saya memaparkan imej yang unik dan pelik.
"Keadaan itu menyebabkan sesetengah individu tidak boleh menerimanya sekali gus mengaitkan penampilan saya yang bertudung.
"Namun, hal-hal seperti itu tidak langsung mematahkan semangat saya," katanya.
Terus mengorak langkah, Haneesa sentiasa berusaha untuk memajukan diri agar berjaya dan dikenali sebagai pelukis muka profesional suatu hari nanti.
"Kalau ada rezeki, saya mahu bekerja sebagai juru mekap kesan solekan khas di pentas teater sama ada untuk produksi tempatan mahupun antarabangsa.
"Perjalanan saya masih lagi jauh. Namun, saya juga sedang berusaha untuk mengasah bakat yang ada," katanya.
0 comments:
Post a Comment