Kuala Lumpur - Beberapa orang saksi kejadian hujan air batu di sini kelmarin berkata mereka mendapati cuaca tiba-tiba berubah menjadi gelap seperti malam dan disusuli dengan kejadian angin puting beliung.
Ia berlaku selama kira-kira dua jam mulai pukul 5 petang yang menukar landskap beberapa kawasan di Bukit Jalil yang turut menyakasikan pokok pelbagai saiz tumbang di sebahagian Lebuhraya Sungai Besi.
Sebuah kontena yang dijadikan pos pengawal keselamatan turut rosak dihentam objek yang diterbangkan angin manakala sebuah papan tanda kafe pandu lalu berukuran kereta Kancil turut tumbang.
"Cuaca tiba-tiba berubah menjadi gelap dan berlaku puting beliung yang berputar-putar. Nasib baik tiada objek yang terbang ke arah bangunan kami, jadi semua yang berada dalam bangunan selamat.
"Cuma beberapa orang yang berada di luar cedera ringan sebab terkena ketulan ais, hujan batu," kata pekerja kafe berkenaan yang enggan dikenali kepada Bernama.
Dia yang sedang bertugas ketika itu berkata hujan ais yang turun adalah sebesar genggaman tangan orang dewasa.
Seorang lagi saksi berkata angin yang berlaku adalah sangat kencang sehingga terdapat motosikal yang diparkir terbalik dipukul angin.
"Kejadian memang tak dijangka, ia tiba-tiba gelap dan terus berlaku ribut," katanya yang juga enggan dikenali.
Tinjauan hari ini mendapati kerja-kerja pembersihan kawasan sekitar giat dijalankan.
Kerosakan didapati meliputi kawasan mulai Pusat Penyiaran Astro All Asia di sepanjang kira-kira satu kilometer Lebuhraya Sungai Besi hingga pusat bandar.
Sebuah stesen minyak yang mengalami kerosakan masih tidak beroperasi semalam.
0 comments:
Post a Comment