Tujuh sekeluarga di sini hidup dalam kesempitan apabila insan tempat mereka bergantung harap disahkan mengidap epilepsi sejak empat tahun lalu.
Disebabkan penyakit dihidapinya itu, Ahmad Fadzli Abdul Malek, 44, kerap pengsan semasa bekerja, menyebabkan dia terpaksa keluar masuk hospital untuk rawatan.
Bapa lima anak berusia di antara empat hingga 17 tahun itu yang sebelum ini aktif dan rajin melakukan lebih daripada satu kerja untuk menambah pendapatannya sebagai ketua keluarga, kini hanya terlantar.
Ketidakupayaannya itu menyebabkan Ahmad Fadzli buntu mengenangkan nasib keluarganya, tambahan pula isterinya, Roziana Mohamad Idrus, 40, berhenti kerja sebagai pembantu restoran sepanjang Ramadan ini, menyebabkan mereka sekeluarga kini tiada punca pendapatan.
Menurutnya, dia pernah cuba bekerja semula sebulan lalu sebagai tukang masak namun dia pengsan dan terkena air panas, menyebabkan lengannya melecur.
Katanya, dia pilu mengenangkan nasib anak sulungnya, Muhammad Haikal Haziq, 17, yang kini belajar di MRSM Kuala Kubu Baru dan tinggal di asrama sekolah itu.
"Dia akan menghadapi SPM tahun ni. Saya tak mampu sediakan perbelanjaannya di asrama, malah duit tambang bas untuk dia balik ke asrama juga tak dapat saya sediakan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, semalam.
Ahmad Fadzli bekata, walaupun hidup dalam serba kekurangan, dia tidak pernah menjadikan kemiskinan sebagai tiket untuk meminta simpati orang lain.
"Tapi kali ni, saya terpaksa pasrah sebab saya tak ada punca kewangan dalam bulan Ramadan ni.
"Saya terpaksa hubungi kawan sekolah minta simpati dan atas pujukan mereka, saya benarkan kesulitan hidup kami sekeluarga diviralkan untuk memohon sumbangan," katanya.
Difahamkan, rakan sekolahnya pernah membantunya membuka perniagaan makanan tetapi terpaksa ditutup kerana dia kerap pengsan ketika memasak, menyebabkan sebahagian tubuhnya melecur terkena api.
Anak bantu sara keluarga
Ahmad Fadzli berkata, anak keduanya, Muhammad Aiman Hakim, 15, kini membantu mereka sekeluarga mencari pendapatan tambahan.
“Dia anak yang rajin dan cemerlang dalam pelajaran seperti abangnya. Masa UPSR dia mendapat 4A 1B tapi dia tak masuk ke mana-mana sekolah asrama sebab kami orang susah.
"Dia nak tengok abang sulungnya berjaya dulu dan dia yang tanggung beban tugas bantu saya yang sakit selain jaga adik-adik di rumah," katanya.
Menurutnya, walaupun hidup dalam serba kekurangan, dia tetap mengutamakan pelajaran anak-anaknya.
"Saya selalu pesan supaya mereka belajar sungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran dan jadi orang berguna untuk ubah masa depan keluarga," katanya.
Dalam pada itu, kesusahan hidup tujuh beranak itu mendapat perhatian Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu Bentong (JCMB).
Pengerusi JCMB, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan beberapa ahlinya berkunjung ke rumah mereka menerusi program Ziarah Kasih, semalam dan menyampaikan sumbangan daripada T4BUNG.
Ketika kunjungan itu, Persatuan Sukarelawan Daerah Bentong turut menyerahkan sumbangan kepada keluarga terbabit.
Ahmad Fadzil berkata, sumbangan diterima itu disifatkannya sebagai hadiah istimewa buat keluarganya, malah dia berharap kehidupan mereka bertambah baik.
Orang ramai ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank Ahmad Fadzli Abdul Malek 162124283152.
0 comments:
Post a Comment