Seorang abang merayu orang ramai membantu mencari adiknya, Siti Rohayu Roslan, 19, yang didakwa hilang sejak bulan lalu di sekolahnya, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sulaiman, Bentong di sini.
Muhammad Ikram Roslan, 21, berkata, kehilangan adik kedua daripada lapan adik itu bukan sahaja mengejutkan malah memberi tekanan kepada mereka sekeluarga, termasuk ayahnya Roslan A Rahim, 42.
Menurutnya, sejak kehilangan adik keduanya itu fikirannya begitu runsing terutamanya ayah sehingga ayah jatuh sakit dan sukar untuknya bekerja kerana begitu risaukan terhadap keadaan adik dan tumpuannya kini hanya mencari Siti Rohayu di beberapa kawasan yang dipercayai anaknya itu berada.
“Ketika kejadian, adik saya kebiasaanya akan pulang ke rumah dari asrama setiap dua minggu sekali pada hari Jumaat dan kebiasaanya beliau akan tiba ke rumah selewat-lewatnya dalam pukul empat atau lima petang.
"Kami cuba menghubungi kawan baiknya Aminah Samirah tapi dia sendiri tidak tahu ke mana perginya adik saya tetapi menurutnya adik saya telah pulang ke rumah pada hari Rabu dan perkara ini telah disahkan oleh cikgunya yang membenarkan adiknya pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.
Muhammad berkata, mereka sekeluarga dan penduduk sekitar telah berusaha mencari di kawasan berhampiran tetapi masih tidak menemui sebarang kesan.
Malah katanya, hal kehilangan Siti Rohayu turut disebarkan menerusi lama sosial Facebook dan WhatsApp bagi menjejaki adiknya itu.
Difahamkan, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong memandangkan usaha pencarian di kawasan sekitar gagal.
“Saya tidak nampak sebarang perubahan tanda dan sikap yang pelik terhadap adik saya sebelum dia hilang dari kami.
“Dia adik yang baik, selalunya dia tidak pernah bersikap begini. Dia juga tidak pernah membantah arahan ayah dan mak dan pasti akan diturutinya.
“Saya juga bimbang sekiranya dia diawasi mana-mana pihak, saya minta pulangkan adik saya dalam keadaan selamat,” katanya.
Mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Muhammad di talian 017-9224316 dan juga diminta menghubungi balai polis berhampiran.
0 comments:
Post a Comment