Kemaman – Luluh hati seorang ibu apabila anak sulungnya yang tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa selepas keluar bermain ditemui lemas dalam kolam rekreasi berdekatan rumah mereka di kampus Kolej Universiti Tati (Tatiuc) di Teluk Kalong, di sini, malam tadi.
Fatimah Rubaiah Che Jaafar, 37, yang juga pembantu makmal di kolej itu gagal menahan air mata saat melihat jasad anaknya, Ahmad Waliyuddin Al Hasani Mohd Azhar, 7, diangkat keluar dari dasar kolam itu kira-kira jam 9.35 malam.
Mayat murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong berkenaan dijumpai di dasar kolam seluas setengah ekar itu setelah seorang siswa yang melakukan pencarian dalam kolam itu tersepak kaki kanak-kanak itu yang tenggelam di dasar kolam terbabit.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke dalam kolam berkenaan berdasarkan keadaannya yang masih lengkap memakai baju ketika mayatnya dijumpai dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Disyaki keadaan tebing kolam itu yang licin berikutan seluruh dasar dan tebing kolam itu dilapik plastik mengakibatkan mangsa tergelincir dan difahamkan kolam itu sebelum ini kering tapi ekoran hujan berterusan sejak empat hari lalu, kolam itu mula ditakung air.
0 comments:
Post a Comment