Kuala Berang - Pentadbir tanah di setiap daerah diminta mengenal pasti tanah kerajaan yang masih kosong serta bersesuaian untuk ditransformasikan dan dimajukan dengan memberi peluang generasi muda di negeri ini membangunkannya.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kelak langkah itu dapat memberi sumber pendapatan kepada belia dan jika diusahakan sebaik mungkin, hak pemilikan tanah akan diberikan kepada individu berkenaan, tertakluk kepada peraturan tanah.
"Kita ingin beri seberapa banyak ruang kepada anak muda di negeri ini memajukan mana-mana tanah yang masih kosong supaya mereka dapat menjana pendapatan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Rancangan Khas Binjai Kertas-Nasi Dingin, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.
Pada majlis itu juga pihak Risda Plantation diwakili Pengurus Risda Plantation Negeri Terengganu, Mohd Yusof Baijuri turut menyerahkan replika cek bernilai RM 10,600 kepada Ahmad Razif sebagai dana permulaan bagi projek Rancangan Khas Binjai Kertas-Nasi Dingin.
Tambahnya, kerajaan negeri juga bersetuju menyerahkan 65 hektar tanah untuk dimajukan secara berkelompok oleh 161 peserta berusia antara 21 hingga 40 tahun dari Kampung Binjai Kertas dan Kampung Nasi Dingin.
"Setiap seorang diberikan sehektar tanah untuk dibangunkan dengan projek perumahan atau pertanian. Kita juga cadangkan tanah ini dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit secara usahasama dengan Risda," katanya.
0 comments:
Post a Comment