Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 21, 2016

[KUANTAN] DESAK CARI PUNCA BAU BUSUK


Desak cari punca bau busuk


Walaupun sudah disahkan air Sungai Nyior di Balok Baru di sini dicemari kuman e-Coli sejak sebulan lalu namun penduduk masih buntu mengenai punca bau busuk yang mencemari sungai berkenaan.

Warna air sungai yang hitam dan berbau busuk mengganggu penduduk terutama pada waktu tengah hari hingga lewat petang.

Penduduk yang ditemui, Rosli Ibrahim, 56, berkata, kedudukan rumahnya yang paling hampir dengan sungai menyebabkan bau busuk masuk hingga ke dalam.

Menurutnya, pihaknya mengakui keputusan sampel yang diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah diperoleh.

“Tapi punca bau busuk itu belum diketahui, belum diselesaikan. Kami di sini dah tak tahan bau busuk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rosli berkata, sekiranya keadaan masih berterusan, dia bimbang pencemaran itu akan menyebabkan punca air menjadi semakin teruk.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Salleh, 55, memuji dan menghargai tindakan pihak berkuasa mengkaji sampel air sungai berkenaan namun dia kesal kerana masalah sebenar masih tidak selesai dan bau busuk berlarutan.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Baru, Shaharuddin Mohamed berkata, masalah bau busuk dari sungai berkenaan perlu ditangani segera dan pihak bertanggungjawab perlu mengenal pasti puncanya.

Katanya, keputusan JAS yang mengesahkan Sungai Nyior dicemari e-Coli iaitu najis perlu pandang serius.

“Saya difahamkan loji kumbahan di taman ini tidak mengalami sebarang kerosakan selepas diperiksa.

“Tapi penduduk di sini mahu pihak berkuasa mencari punca bau busuk yang mencemari sungai ini,” katanya

Pada 20 April lalu, JAS mengesahkan sungai berkenaan di cemari e-Coli selepas sampel air dianalisis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Jas) Pahang, Rosli Zul berkata, pihaknya masih membuat analisis mengenai punca kuman e-Coli yang mencemari Sungai Nyior sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, JAS hanya akan membuat rumusan selepas memperoleh keputusan tepat melalui maklumat daripada petunjuk yang ditemui dalam siasatan awal.

“Buat masa ini, kita percaya bau busuk itu dipercayai berpunca daripada sisa kumbahan namun ia masih awal untuk disahkan secara tepat sehingga analisis lengkap diperoleh,” katanya.


0 comments:

share2