Shah Alam - Anak sulung bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar memberitahu Allahyarham ayahnya itu seorang yang garang namun masih tetap didekati orang lain.
Hinggakan ada ketika mereka adik beradik sanggup membatalkan niat untuk bertemu dengan Allahyarham gara-gara takut dimarah.
Akui sukar untuk bertemu dengan si ayah, Nik Omar berkata mereka adik beradik telah berpakat untuk pulang setiap minggu pada hari yang sama demi meluangkan masa bersama.
"Kesibukan beliau, kita adik beradik memang rasa. Nak jumpa, bercakap memang susah. Kami pakat balik malam Khamis setiap minggu.
"Masa itulah kita boleh bercakap dan di depan kami yang bercakap itu bukan Musyidul Am Pas, Menteri Besar (Kelantan) tapi seorang ayah kepada anak yang perlukan kasih sayang.
"Tapi kadang-kadang memang rasa takut sebab Tok Guru ini bekeng (garang). Tapi bekeng bekeng dia, orang nak pergi (jumpa). Ada sekali itu kita nampak dia, kita pusing balik sebab takut dia marah," katanya ketika perkongsian pada 'Wacana : Dunia Pendidikan Tok Guru' di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.
Mengimbau kembali kenangan bersama Allahyarham, Nik Omar yang juga merupakan Pengetua Kompleks Pendidikan Darul Anuar berkata, walaupun ayahnya itu kurang sihat, jika topik politik dibuka, ayahnya itu kembali segar.
"Kami bercakap tentang banyak perkara termasuk sukan, isu antarabangsa, pertanian, isu semasa dan dia akan respons
"Tapi kami memang pakat tak cakap hal politik sebab politik ini kalau dia letih pun dia jadi segar. Tapi lepas itu dia demam balik," katanya.
Katanya lagi, ada Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang pelik dengan cara Allahyarham menutup lampu dan kipas sendiri sebelum meninggalkan pejabatnya.
"Tapi kita (keluarga) tidak pelik sebab di rumah juga dia buat begitu. Semua dia tutup sendiri sebelum meninggalkan bilik. Kehidupan dia begitu sederhana.
"Saya pun baru tahu bila Galeri Tok Guru dibuka, dalam bilik air dia ada baldi buruk usia puluh tahun pun masih digunakan.
"Guna air untuk mandi pun sangat minima. Apa Nabi amalkan, Allahyarham ikut. Nasi sebutir pun dia habiskan," katanya.
0 comments:
Post a Comment