Kuala Lumpur - Polis menahan 14 suspek termasuk seorang wanita disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan militan, IS.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi serentak antara 17 hingga 20 Mei lalu di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Perlis dan Johor.
Menurutnya, operasi ini adalah susulan daripada tangkapan ke atas 15 suspek IS pada 22 hingga 24 Mac 2016.
“Kesemua mereka adalah warganegara Malaysia yang berusia antara 22 hingga 49 tahun. Tujuh suspek tersebut bekerja di syarikat swasta, dua bekerja sendiri dan masing-masing sebagai mekanik, buruh, pelayan pusat karaoke, pembantu makmal dan juruteknik pesawat di salah sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat di Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Rashid berkata, mereka disyaki terlibat dengan aktiviti mempromosi ideologi, mengumpul dana dan merancang untuk menyertai IS di Syria.
"Mereka juga disyaki mengancam untuk membunuh Perdana Menteri dan Pegawai Tertinggi PDRM serta merekrut anggota kumpulan militan itu,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah BAB VIA- kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
0 comments:
Post a Comment