
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, merekodkan peningkatan aduan berkaitan ular berbisa daripada 16 kes bulan lalu kepada 26 kes bulan ini.
Timbalan Pengarahnya, Morni Mamat berkata, sebanyak 92 kes berkaitan ular berbisa masuk kawasan penempatan termasuk kediaman direkodkan sehingga semalam.
Menurutnya, pada bulan ini sahaja sebanyak 26 kes direkodkan manakala 25 kes masing-masing direkodkan pada Februari dan Mac serta 16 kes pada Januari.
“Orang ramai diingatkan supaya jangan panik dan bertindak sendiri jika berhadapan dengan situasi begini (penempatan dimasuki ular) sebaiknya hubungilah balai bomba berhampiran,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada sidang media Majlis Penyerahan Balai Pasukan Bomba Sukarela Sri Kerdau, di sini, semalam.
Menurutnya, daripada semua kes direkodkan setakat ini, Kuantan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 35 kes, diikuti Temerloh 18 kes dan Rompin 12 kes.
Katanya, daerah lain seperti Bentong enam kes, Pekan empat kes, Lipis dan Cameron Highlands masing-masing tiga kes, serta satu kes direkodkan di Jerantut dan Maran.
“Kami bersyukur kerana sehingga kini semua kes dapat ditangani dengan baik dan tidak melibatkan kecederaan atau kematian,” katanya.
Morni berkata, kebanyakan kes dilaporkan melibatkan ular berbisa jenis tedung selar, ular kapak selain ular sawa yang meninggalkan habitat masing-masing akibat cuaca panas melampau dan kebakaran belukar susulan fenomena El Nino.
Sementara itu, beliau berkata, kes kebakaran hutan di seluruh negeri sehingga kini telah meningkat kepada 1,059 kes.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 850 kes melibatkan kebakaran belukar, hutan 135 kes dan kebakaran kebun sebanyak 74 kes.
“Kebanyakan kes dipercayai berpunca daripada kelalaian manusia kerana melakukan pembakaran di kawasan kebun dan ladang yang akhirnya merebak ke kawasan lain.
“Jadi, saya harap masyarakat mempunyai kesedaran dan lebih sensitif dengan musim kemarau yang boleh menyebabkan kebakaran sehingga menyusahkan orang ramai,” katanya.

0 comments:
Post a Comment